INSPIRASI NIAGA
KUANTAN: Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Itu prinsip pegangan hidup bagi pengasas produk pati minyak wangi tanpa alkohol, Ahmad Hafiz Mohd. Hamili, 38, bagi mengubah kehidupan dirinya dari makan gaji kepada menentukan gaji sendiri.
Menceritakan pengalaman kerjanya, beliau berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelbagai pekerjaan dilakukan.
“Hendak cakap tentang kerja, macam-macam kerja saya buat sebelum ini antaranya dalam bidang pembinaan rumah, kerja kilang, pengawal keselamatan dan kerja pembantu kedai makan.
“Saya juga pernah berniaga di pasar malam menjual barangan seperti tali pinggang yang mana keluar petang, balik awal pagi dengan pendapatan bergantung kepada belian orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bercerita tentang perniagaan minyak wanginya, Ahmad Hafiz berkata, beliau mula menceburi bidang itu pada awalnya hanya secara kecil-kecilan dengan membantu seorang rakannya.
“Semakin lama saya lihat permintaan kepada minyak wangi tanpa alkohol ini cukup tinggi. Setiap hari pasti ada kedai-kedai menghubungi maklumkan bekalan minyak wangi sudah habis.
“Setelah berbincang dengan kawan saya, dia sendiri tidak menang tangan dan minta saya buat sendiri. Selepas pada itu saya mulakannnya sendiri dan alhamdulillah sambutan cukup baik,” katanya.
Menurut Ahmad Hafiz, meskipun perlahan dan memerlukan kerahan tenaga optimum namun usahanya membuahkan hasil apabila kini lebih 30,000 premis perniagaan menjual produk minyak wangi beliau dengan jenama Hafiz Perfumes.
Bermula dengan dua kedai dan jualan 50 botol sehari, kini empayar Hafiz Perfumes di bawah perniagaan Hamili Enterprise sudah pun memasuki pasaran global sehingga ke Indonesia dan Thailand.
Menurutnya, kini syarikatnya mampu mengeluar dan mengekalkan jualan sehingga 250,000 botol sebulan yang mana mencecah RM600,000 sebulan.
Katanya, beliau kini mempunyai kira-kira 60 ejen seluruh negara dan akan fokus kepada pembangunan ejen sedia ada selain memberikan tumpuan mengembangkan jumlah pengedaran.
“Produk minyak wangi kecil ini mudah dipasarkan memandangkan semua jenis kedai fizikal boleh menjualnya dengan hanya diletakkan di kaunter bayaran atau sudut-sudut tertentu kedai.
“Ia tentunya langsung tidak mengganggu operasi semasa perniagaan itu,” katanya.
Ahmad Hafiz juga menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan strategik perniagaannya yang telah sama-sama berusaha keras mengembangkan empayar Hafiz Perfumes sehingga ke hari ini.
Beliau dalam pada itu optimis ingin membantu mereka dalam mencari pendapatan sampingan dengan menjual produk minyak wanginya.
Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang peluang perniagaan yang ditawarkannya boleh melayari Facebook dan Instagram produk itu, Hafiz Perfumes.
Biarpun mengakui jualan produk pati minyak wangi keluarannya sedikit berkurangan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, namun bagi Ahmad Hafiz, itu bukan halangan untuknya terus mengembangkan perniagaan.
Katanya, sebelum PKP, dia mampu menjual kira-kira 200,000 botol produk pati wangian tanpa alkohol diusahakannya, dalam sebulan.
“Sewaktu PKP pada Mac tahun lalu, jualan berkurangan kepada 100,000 botol sebulan, tetapi Alhamdulillah beransur pulih ketika ini. Memang terasa waktu itu (PKP), tapi saya anggapnya sebagai cabaran dalam perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting adalah kualiti kerana dalam apa jua keadaan sekalipun, produknya akan tetap mendapat permintaan walaupun dalam keadaan ekonomi rakyat terjejas ekoran Covid-19. – UTUSAN










