Perbelanjaan besar bantu rakyat - Utusan Malaysia

Perbelanjaan besar bantu rakyat

Pakej rangsangan besar membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, seterusnya memberi manfaat kepada majoriti rakyat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kedudukan ekonomi yang sema­kin meruncing di tambah masalah kesihatan tenat, kerajaan tidak dapat lari daripada melaksanakan perbelanjaan baharu lebih besar sama ada pelan rangsangan memulihkan ekonomi atau pun perbelanjaan kesihatan.

Sehubungan itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpandangan, Malaysia sebenarnya mampu menawarkan pakej rangsangan besar sama seperti negara-negara maju lain termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Walau bagaimanapun, Baharom berkata, ia perlu dilakukan dengan perancangan rapi dan telus bagi menyuntik pertumbuhan sektor produktif, berdaya maju dan berdaya saing.

“Kenaikan cukai atau pe­ngenalan cukai mungkin kurang tepat buat masa ini kerana ia mungkin menambah pende­ritaan rakyat.

“Negara mungkin terpaksa melakukan pinjaman dengan menambah sedikit tekanan kepada nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sudah sedia tinggi dan memberi kesan kepada penarafan asing yang memberi kesan limpahan kepada pelaburan luar.

“Namun begitu, ia hanya bersifat sementara dan boleh dibaiki kembali apabila kita mengukuh­kan ekonomi kita kelak kerana keutamaan sekarang adalah untuk merawat ekonomi dan kesihatan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas pandangan Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram dalam Utusan Malaysia, semalam yang menegur kerajaan supaya mengenepikan tingkat hutang negara yang tinggi dan penarafan agensi asing bagi memastikan rakyat yang menjadi mangsa pandemik Co­vid-19 dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dibantu.

Jomo berkata, kerajaan mesti berani berbelanja lebih bagi membantu rakyat yang sedang dalam kesempitan.

Semalam, kerajaan turut meng­umumkan pakej rangsa­ngan baharu iaitu Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bi­lion dalam usaha memulihkan ekonomi susulan pelaksanaan semula PKP.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam per­utusan khasnya memberitahu, sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah Permai yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, walaupun tindakan me­ningkatkan pinjaman negara dan mengenepikan penarafan agensi antarabangsa buat masa ini, namun kelestarian jangka panjang akan memihak kepada negara.

“Memang ada impak kepada negara terutama melibatkan berkurangnya keyakinan pelabur luar sekali gus pelaburan juga berkurang. Namun begitu, kelestarian jangka panjang akan memihak kepada kita.

“Apa ertinya penarafan antarabangsa yang baik tetapi rakyat menderita dan ekonomi kita terjejas,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya