Peraturan Pekerjaan Darurat patut dilaksanakan - Utusan Malaysia

Peraturan Pekerjaan Darurat patut dilaksanakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Peraturan Pekerjaan Darurat merupakan langkah yang baik dan patut dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan kepada rakyat dalam tempoh pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kehilangan pekerjaan serta pengurangan gaji akan membuat rakyat lebih sengsara.

“Jadi bagi mengatasi masalah tersebut, Peraturan Pekerjaan Darurat patut diumumkan oleh kerajaan.

“Majikan harus sanggup berkorban sedikit untuk memastikan kelestarian jangka masa yang panjang. Jika kita lihat, bank-bank di Malaysia sudah membuat keuntungan untuk sekian lama.

“Tidak masuk akal jika alasan yang diberikan ialah tidak mampu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas cadangan Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE) supaya kerajaan melaksanakan Peraturan Pekerjaan Darurat yang boleh menghalang mana-mana syarikat membuang pekerja dalam tempoh tertentu.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon ketika membangkitkan cadangan itu Rabu lalu berkata, sekiranya rakyat kehilangan mata pencarian dan kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk melindungi mereka, rakyat akan hilang percaya kepada kerajaan.

Menurut Solomon, peraturan tersebut bukan sahaja memperuntukkan larangan pemecatan malah menghalang majikan memotong gaji atau memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh pandemik.

Cadangan NUBE itu ditolak oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dengan alasan ia akan memberi kesan kepada pelaburan masuk ke dalam negara.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang sependapat dengan Baharom pula berkata, antara teras utama Belanjawan 2021 adalah kesejahteraan rakyat.

“Tidak salah jika menjaga kebajikan para pekerja daripada dibuang oleh majikan. Jadi, langkah untuk mengadakan Peraturan Pekerjaan Darurat itu sepatutnya disokong bagi memudahkan pemulihan ekonomi negara.

“Pada situasi sekarang matlamat adalah untuk menjaga kelangsungan hidup rakyat Malaysia dan bukannya memelihara fleksibiliti pelaburan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN