KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Peraturan Pekerjaan Darurat yang melarang majikan daripada memecat pekerja sepanjang tempoh pandemik.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, peraturan tersebut akan memberi kesan kepada pelaburan masuk ke dalam negara kerana mengurangkan fleksibiliti majikan dalam menghadapi krisis seperti pandemik Covid-19 yang sedang berlaku.
Beliau berpendapat, saranan untuk tidak memecat, mengurangkan gaji atau memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja boleh diberikan dalam bentuk garis panduan, tetapi bukan sebagai satu perundangan.
“Saya merasakan pelabur sama ada dari dalam atau luar negara akan takut untuk melabur di Malaysia dan ini akan menjadi penghalang untuk mereka datang ke Malaysia.
“Pasaran buruh itu perlu lebih terbuka dan fleksibel mengikut keadaan semasa. Kita (majikan) harus dibenarkan untuk melakukan langkah pengurangan kos berdasarkan keperluan dan keadaan semasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Kesatuan Nasional Pekerja Bank (NUBE) mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan Peraturan Pekerjaan Darurat yang boleh menghalang mana-mana syarikat membuang pekerja dalam tempoh tertentu.
Ia susulan ancaman pandemik yang masih tinggi yang dikhuatiri meletakkan pekerja dalam risiko dihentikan perkhidmatan oleh majikan dalam tempoh tersebut.
Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, peraturan tersebut bukan sahaja memperuntukkan larangan pemecatan malah menghalang majikan memotong gaji atau memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh pandemik.
Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, pemberian insentif seperti dalam Program Subsidi Upah (PSU) yang dijalankan sebelum ini adalah wajar namun kerajaan tidak boleh menghalang mana-mana majikan untuk melaksanakan pemecatan pekerja.
Ini kerana, menurut beliau, kerajaan memahami situasi mencabar yang membelenggu syarikat-syarikat pada ketika ini terutamanya dalam sektor perhotelan dan peruncitan.
“Apabila saya berkata tentang fleksibiliti, kita memerlukan kerjasama yang erat antara pihak majikan, pekerja dan kerajaan. Matlamat utama adalah untuk kita mengekalkan pekerja.
“Untuk mengekalkan pekerja, kita perlu ambil langkah pengurangan kos seperti memberi cuti tanpa gaji atau pemotongan gaji yang bukanlah untuk selamanya, tetapi boleh dikembalikan apabila keadaan mengizinkan,” katanya.
Shamsuddin turut mengulangi saranannya supaya kerajaan membuka semua sektor ekonomi supaya majikan dapat meneruskan operasi dan menanggung kos mengekalkan pekerja.
“Apabila majikan tiada sebarang pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi mereka tetap perlu membayar kos tetap seperti gaji, sudah tentu ia akan menyukarkan lagi keadaan majikan,” katanya. – UTUSAN










