Lancar projek GDV RM2.65 bilion - Utusan Malaysia

Lancar projek GDV RM2.65 bilion

Lim Hock San (tengah) dan Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Wira Joey Lim (tiga kiri) bergambar selepas taklimat media syarikat itu di Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS) mencatatkan jualan sebanyak RM1.2 bilion pada 2020, melepasi jumlah sasarannya iaitu RM1 bilion, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran pasaran.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, meskipun keadaan sekeliling menjadi semakin sukar susulan pandemik Covid-19, pihaknya masih boleh mencapai jualan sebanyak itu dalam masa sembilan bulan.

“Kombinasi produk yang baik dengan kempen pemasaran mantap di bawah inisiatif Belanjawan 2021 menjadi petanda pemulihan ekonomi dan mendorong pemilikan rumah.

“Jumlah jualan itu akan menjadi sasaran kami buat tahun ini juga dengan harapan vaksin dapat diterima secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Pada 2020, LBS telah melancarkan 14 projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.49 bilion merangkumi KITA @ Cybersouth dan LBS Alam Perdana selain Bandar Putera Indah dan Taman Kinding Flora.

Bagi tahun ini pula, pemaju perbandaran terkemuka itu merancang pelbagai strategi melalui pelancaran projek-projek dengan anggaran GDV sebanyak RM2.65 bilion.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, antara pembangunan baharu ialah di Lembah Klang merangkumi fasa baharu di perbandaran KITA @ Cybersouth di Dengkil, terdiri daripada pangsapuri, rumah teres satu dan dua tingkat serta rumah bandar dua tingkat.

LBS turut meluaskan tapak pembangunannya di Pahang, Perak dan Johor merangkumi beberapa rumah mampu milik.

“Mampu milik kekal menjadi perhatian utama bagi pembeli rumah. Kadar kelulusan yang diberikan oleh bank juga hanyalah 50 peratus mungkin kerana ramai berpotensi untuk hilang pekerjaan kerana pandemik Covid-19.

“Oleh itu, kami akan mengambil pendekatan konservatif dan terus fokus kepada strategi kami di dalam membina hartanah dan perbandaran berasaskan konsep mampu milik, rangkaian perhubungan serta komuniti,” jelasnya.
Sehingga 31 Disember 2020, LBS mempunyai projek bank tanah keluasan 3,142 hektar yang menjadi fokus dan tumpuan LBS untuk jangka masa 10 ke 15 tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya