Kawal Covid, ekonomi melonjak lebih pantas - Utusan Malaysia

Kawal Covid, ekonomi melonjak lebih pantas

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara boleh melantun lebih pantas jika Malaysia berjaya mengawal dan meredakan penularan pandemik Covid-19 tahun ini.

Keyakinan itu disuarakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berdasarkan Indeks Lockdown dikeluarkan perunding antarabangsa yang meramalkan Malaysia antara tiga negara mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal dan meredakan pandemik tersebut.

Beliau turut memetik laporan berita antarabangsa yang meletakkan Malaysia di tempat kelima sebagai destinasi tumpuan pelaburan dan perniagaan utama.

Menurut Tengku Zafrul, kedudukan itu merangkumi ekonomi membangun sedunia bagi 2021 sekali gus mengatasi negara-negara seperti China, Filipina, India dan Indonesia.

Beliau memberitahu, laporan firma perunding antarabangsa baru-baru ini juga menyimpulkan bahawa Kuala Lumpur kekal menjadi tarikan kepada komuniti perniagaan berdasarkan kepada faktor-faktor termasuk kemudahan infrastruktur bersepadu, kepelbagaian dan mutu sumber manusia serta kesediaan negara mengadaptasi teknologi digital.

“Dalam kerajaan merangka perjalanan ekonomi negara pasca Covid-19 ini, semestinya sebarang keputusan perlu mengimbangi antara pengurusan sumber sedia ada serta impak positif atau pengganda bagi jangka masa pendek dan panjang.

“Pendekatan ini akan terus diamalkan Kementerian Kewangan dalam penggubalan setiap dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana Ke-35 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin); Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) yang juga laporan pertama bagi tahun 2021, semalam.

Tengku Zafrul berkata, tempoh bagi pelbagai insentif cukai dan pelaburan melalui Penjana juga telah dipanjangkan melalui Belanjawan 2021.

“Ini termasuk kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu yang dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember 2022.

“Pada masa sama, galakan cukai kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih yang memberi kesan pengganda signifikan dengan kadar cukai pendapatan kosong hingga 10 peratus sahaja untuk tempoh 10 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul memberitahu, proses semakan permohonan baharu dan rayuan bagi Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) masih dijalankan dan kerajaan akan mengumumkan tarikh pembayaran fasa kedua dalam masa terdekat.

“Kerajaan juga akan mengumumkan tarikh permohonan baharu dan rayuan yang lulus dijangka disalurkan mulai bulan ini juga. Penunaian fasa pertama BPN 2.0 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mereka yang gagal kredit juga sedang diteruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya