fbpx

17 Januari 2021, 7:56 pm

  TERKINI

EcoWorld tolak gabung UEM Sunrise

CADANGAN penggabungan EcoWorld Malaysia dan UEM Sunrise Berhad oleh UEM Group Berhad akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) menolak cadangan penggabungan dengan UEM Sunrise Berhad (UEMS) yang menjadi buah mulut komuniti perniagaan Malaysia sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan diadakan antara kedua-dua belah pihak pada bulan ini serta penilaian cermat dilakukan oleh Lembaga Pengarah EcoWorld Malaysia.

Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada penolakan itu ialah pelan perniagaan EcoWorld Malaysia sendiri serta persekitaran mencabar dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keputusan itu akan membolehkan EcoWorld Malaysia mempertimbangkan cadangan korporat lain yang mungkin lebih bersesuaian dengan pertumbuhan dan strategi semasa syarikat.

“Ia turut membolehkan kami fokus kepada pelan perniagaan kumpulan untuk tahun kewa­ngan 2021 yang turut merangkumi sasaran jualan RM2.875 bi­lion yang 25 peratus lebih tinggi berbanding jualan sebenar RM2.3 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

UEM Group Berhad (UEMG) yang memiliki UEMS mengumumkan pada 5 Oktober lalu bahawa mereka sedang meneroka peluang penggabungan antara UEMS dengan EcoWorld Malaysia yang mana akan mewujudkan satu daripada syarikat pemaju hartanah terbesar di Malaysia.

Cadangan tersebut menimbulkan kontroversi apabila ada pihak melihat itu sebagai usaha untuk bailout EcoWorld oleh Khazanah Nasional Berhad, pemilik UEMG.

Hal itu bagaimanapun dinafikan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang menegaskan, penggabungan itu tidak membabitkan sebarang wang tunai sebaliknya hanya berdasarkan pertukaran saham dan waran.

Mengulas lanjut, Kee Sin berkata, EcoWorld Malaysia memulakan tahun kewangan 2021 dengan langkah kanan apabila berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM500 juta dalam tempoh dua bulan pertamanya.

“Kemampuan pasukan Eco­World Malaysia untuk mendapatkan jualan tersebut me­nunjukkan betapa mereka telah mentransformasikan keseluruhan proses jualan dengan berkesan menggunakan setiap alat yang ada, khususnya saluran digital dan media sosial, untuk berhubung dengan pelanggan dan mendapatkan jualan,” katanya. – UTUSAN