Nestle lancar NESCAFE Classic Kopi Kedah - Utusan Malaysia

Nestle lancar NESCAFE Classic Kopi Kedah

Juan Aranols menunjukkan NESCAFE Classic Kopi Kedah keluaran terbaharu Nestle di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia telah memperkenalkan NESCAFE Classic Kopi Kedah yang merupakan kopi semaian tempatan 100 peratus yang pertama keluarannya.

Produk baharu itu diperbuat daripada biji kopi tempatan menerusi program ‘NESCAFE Disemai Dengan Kasih’ yang dilancarkan tahun lepas di Kedah sebagai inisia­tif perladangan kopi mampan.

Program usaha sama de­ngan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Jabatan Pertanian Negeri Kedah (KSDA), Lembaga Kemajuan Ekonomi Kedah (KEDA), Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bermatlamat memulihkan semula sektor perladangan kopi dengan cara yang mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, syarikat telah menyokong masyarakat luar bandar di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya.

“Kami terlibat dengan pengusahaan ladang cili dan sawah padi di beberapa negeri dan kini berbangga untuk memulihkan semula perladangan kopi di Kedah untuk menghasilkan NESCAFÉ Classic Kopi Kedah pertama kami.

Kopi Kedah menghasilkan nikmat rasa terbaik dengan biji kopi yang ditanam di tanah air kita, disemai dengan penuh kasih, keprihatinan dan rasa hormat kepada bumi dan penduduk. Ini merupakan satu daripada pelbagai cara kami untuk merungkai kuasa makanan untuk meningkatkan kualiti kehidupan bagi semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Minuman Nestle, Othman Chraibi berkata, program tersebut telah mendapat penyertaan lebih 100 peladang yang menanam hampir 70,000 anak pokok.

“Walaupun sudah mencapai satu penanda aras penting, ia hanyalah permulaan. Kami akan terus menggiatkan usaha membina masa depan kopi mampan dan membawa kesan positif kepada komuniti peladang tempatan,” katanya.

Peladang dari Sik, Kedah, yang juga peserta program itu, Romlah Hamid, 64, berkata, benih kopi baharu yang dibekalkan oleh Nestle adalah serupa dengan pokok induk.

“Oleh itu, penghasilan biji kopi daripada ladang saya dijangka meningkat dengan ketara,” katanya.

Bagi Che Nai Hassan, 65, pula, dia bersyukur kerana mendapat latihan teknik cantuman baji dan kaedah pemulihan pokok kopi tua daripada Nestle, membuatkan pokok kopi tumbuh dengan sihat.

“Dengan potensi lebih besar untuk menghasilkan biji kopi berkualiti, ia bakal menghasilkan pendapatan yang lumayan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.