LTSM sedia hadapi risiko banjir - Utusan Malaysia

LTSM sedia hadapi risiko banjir

Persediaan tetap dilakukan walaupun operasi Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu tidak pernah terkesan dengan banjir sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu kini dilengkapi pam air mudah alih dan penjana bagi mengalirkan air berlebihan ke laut.

Pemasangan yang dilakukan dengan bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu itu akan menambah kelengkapan sedia ada iaitu di bilik pam lapangan terbang itu.

Pemasangan itu adalah sebahagian daripada langkah pencegahan banjir oleh LTSM bagi menghadapi musim monsun tahunan yang dijangka berpanjangan sehingga Mac tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, walaupun operasi LTSM tidak pernah terkesan dengan banjir sebelum ini, termasuk ketika kejadian banjir terburuk negara, persediaan tetap dilakukan.

“Kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan perkhidmatan penting di lapangan terbang tidak terjejas.

“Kami perlu bersedia untuk semua peristiwa dan pencegahan banjir adalah sebahagian daripada pelan Tindak Balas Kecemasan Lapangan Terbang,” katanya dalam kenyataan.

Selain LTSM, enam lagi lapangan terbang di enam negeri berbeza berisiko terjejas oleh banjir memandangkan kesan musim Monsun Timur Laut yang berlaku pada November hingga Mac setiap tahun paling teruk di negeri-negeri tersebut.

Enam lapangan terbang itu ialah Lapangan Terbang Kota Bharu; Lapangan Terbang Kuantan; Lapangan Terbang Ipoh; Lapangan Terbang Alor Setar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Keenam-enam lapangan terbang itu telah disediakan dengan Pelan Tindak Balas Kecemasan Banjir (FERP) yang akan memberi panduan tindakan segera sekiranya berlaku sebarang kejadian banjir.

Selain itu, menurut MAHB, langkah lain memastikan sistem perparitan lapangan terbang bebas daripada sebarang sampah atau halangan sepanjang masa supaya air berlebihan dapat di­salur keluar segera dari kawasan lapangan terbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya