Kesatuan sekerja TNB sokong CEO - Utusan Malaysia

Kesatuan sekerja TNB sokong CEO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja Tenaga Nasional Berhad (KPPPTNB) menzahirkan sokongan kepada Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk terus menerajui syarikat tenaga itu sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif.

Presiden KPPPTNB, Othman Alias berkata, Amir Hamzah te­lah memberi kerjasama dan sentiasa terbuka untuk berbincang serta berkongsi prestasi syarikat pada setiap masa.

Sehubungan itu, kata beliau, KPPPTNB akan mempertahankan dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Amir Hamzah untuk terus memegang jawatannya.

“Majlis Jawatankuasa Kerja KPPTNB dalam mesyuarat khas pada lewat petang 14 Disember telah membuat ketetapan sebulat suara bagi mewakili hampir 13,000 ahli-ahlinya yakni separuh daripada pekerja-pekerja di TNB.

“KPPPTNB akan terus menyokong dan memberi soko­ngan penuh kepada Amir Hamzah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif serta pengurusan tertinggi di TNB,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Amir Hamzah Azizan

Desas-desus penyingkiran Amir Hamzah daripada jawatan beliau berkumandang beberapa hari ini melalui maklumat yang diberikan oleh sumber yang tidak dinamakan kepada beberapa agensi media.

Othman berpendapat, penggunaan media untuk menentukan nasib Amir Hamzah adalah aneh dan menimbulkan pertanyaan dalam kalangan warga kerja TNB.

“Apabila timbul desas-desus ini di media, KPPPTNB menjadi hairan, seolah-olah ada agenda tersembunyi yang sedang dirancang dan boleh mengakibatkan prestasi syarikat menjadi tidak menentu pada masa ini.

“KPPPTNB tidak mempertikaikan perlu atau tidak perubahan pucuk pimpinan tetapi perubahan hendaklah dilaksa­nakan mengikut standard prosedur dan bukan menerusi media semata-mata,” katanya.

Oleh itu, Othman menasihatkan ahli KPPPTNB supaya bertenang dan tidak melayan khabar angin tersebut.

“KPPPTNB yang sentiasa memegang prinsip untuk ‘berkhid­mat kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB semasa’ de­ngan ini akan mempertahankan dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Amir Hamzah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya