Fasa kedua BPN 2.0 dibayar Januari 2021 - Utusan Malaysia

Fasa kedua BPN 2.0 dibayar Januari 2021

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) fasa kedua berserta bayaran kepada permohonan baharu dan rayuan yang lulus akan dilaksanakan menjelang Januari 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BPN 2.0 memperuntukkan dana berjumlah RM7 bilion bertujuan meringankan beban 7.5 juta penerima isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta 3.1 juta isi rumah berpendapatan sederhana (M40) melalui pemberian bantuan tunai secara one-off.

Beliau berkata, setakat ini pembayaran fasa pertama berjumlah RM4.5 bilion telah berjaya disalurkan kepada lebih 9.86 juta penerima merangkumi 7 juta penerima B40 dan 2.86 juta penerima daripada kategori M40.

“Bagi penerima BPN 2.0 yang tidak mempunyai akaun bank, penunaian telah mula disediakan di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober 2020.

“Tempoh permohonan baharu serta rayuan BPN 2.0 pula telah berakhir pada 15 November 2020 dengan pembayaran fasa kedua beserta bayaran kepada permohonan baharu dan rayuan yang lulus akan dibuat dalam bulan Januari 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Laksana ke-31 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin).

Dalam pada itu, bagi Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0, Tengku Zafrul berkata, pemohon boleh menyemak status permohonan bermula 27 November lalu manakala pembayaran bermula pada 30 November.

Katanya, sebanyak 304,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) layak bakal menerima bantuan one-off berjumlah RM3,000 dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM912 juta.

“Secara keseluruhannya, hampir 850,000 PMKS telah menerima GKP dan GKP 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM2.55 bilion.

“Bagi mereka yang gagal permohonan, tempoh rayuan GKP 2.0 akan dibuka dari 7 hingga 21 Disember 2020 dengan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di https://gkp.hasil.gov.my,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.