Eksport sarung tangan getah RM4.4 bilion - Utusan Malaysia

Eksport sarung tangan getah RM4.4 bilion

SARUNG tangan getah penyumbang utama eksport produk getah asli negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Eksport sarung tangan getah negara merekodkan peningkatan signifikan sebanyak 14.6 peratus atau RM600 juta kepada RM4.4 bilion Oktober lalu berbanding RM3.8 bilion yang dicatatkan pada September.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan United Kingdom (UK) terus kekal sebagai antara negara tertinggi destinasi eksport produk sarung tangan getah.

Pada masa sama, Mohd. Uzir berkata, pengeluaran getah asli negara turut melonjak 5.4 peratus pada Oktober kepada 48,663 tan metrik berbanding 46,187 tan metrik bulan sebelumnya.

“Eksport getah asli Malaysia pula berjumlah 54,492 tan metrik, naik 11.8 peratus daripada 48,720 tan metrik pada September.

“China kekal destinasi utama eksport getah asli iaitu 57 peratus daripada jumlah eksport pada Oktober lalu, diikuti Jerman (11.7 peratus), Finland (3.7 peratus), Iran (3.3 peratus) dan Brazil (2.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, stok getah asli turut meningkat 0.6 peratus kepada 256,724 tan metrik pada Oktober berbanding September sebanyak 255,089 tan metrik.

“Harga purata Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 pula mencatatkan harga tertinggi apabila meningkat kepada 621.76 sen sekilogram berbanding 558.50 sen sekilogram pada September.

“Trend sama turut ditunjukkan bagi harga purata lateks pekat iaitu naik kepada 576.14 sen sekilogram daripada 484.57 sen sekilogram pada September,” jelas beliau.

Jabatan Perangkaan juga melaporkan bahawa penggunaan getah asli di peringkat domestik turut menokok sebanyak 6.3 peratus dari bulan sebelumnya iaitu berjumlah 48,518 tan metrik.

Pembuatan sarung tangan getah turut mendominasi industri pembuatan getah asli melibatkan penggunaan sebanyak 36,901 tan metrik atau 76.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.