KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengagihkan dividen yang memuaskan tahun ini walaupun ekonomi meleset akibat pandemik Covid-19.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia sesuai dengan pasaran saham yang masih mengekalkan momentum positif.
“Bursa Kuala Lumpur turut mencatatkan peningkatan yang terbaik selari dengan bursa-bursa saham di negara-negara lain di rantau ini.
“Kadar dividen tahun ini dijangka lebih baik daripada tahun sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividennya pada kadar 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dan lima peratus bagi Simpanan Syariah.
Menurut tabung simpanan pekerja itu, jumlah keseluruhan pembayaran dividen bagi Simpanan Konvensional ialah RM41.68 bilion manakala Simpanan Syariah adalah sebanyak RM4.14 bilion.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi melihat program i-Sinar yang membolehkan pencarum tertentu mengeluarkan sebahagian simpannnya dalam Akaun 1 tidak akan mempengaruhi kadar dividen KWSP.
“Program i-Sinar melibatkan pengeluaran simpanan oleh pencarum yang merupakan perkara yang berbeza berbanding Bursa Malaysia yang menunjukkan pencapaian baik, seterusnya memungkinkan agihan dividen yang baik,” katanya.
Namun, katanya, pengeluaran simpanan melalui i-Sinar mungkin akan mengurangkan jumlah pendapatan yang diterima pencarum walaupun peratusnya boleh meningkat.
“Pengeluaran melalui i-Sinar akan menyebabkan jumlah simpanan mula berkurangan pada tahun 2021. Dengan anggaran ekonomi kembali melonjak pada tahun hadapan, jangkaan prestasi bursa saham juga dianggap selari positif.
“Untuk pencarum mungkin akan menerima peratus dividen yang lebih baik tetapi jumlahnya berkurangan setelah sejumlah wang dikeluarkan melalui i-Sinar,” katanya. – UTUSAN










