AS bantu syarikat penerbangan AS$15b - Utusan Malaysia

AS bantu syarikat penerbangan AS$15b

Pakej bantuan yang akan diluluskan kerajaan, bakal membantu syarikat-syarikat penerbangan Amerika Syarikat pulih selepas operasi mereka terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Perjanjian perundangan dwipartisan yang bakal dibentangkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bersetuju memberi bantuan bernilai AS$15 bilion (RM60.77 bilion) kepada syarikat penerbangan negara itu.

Ia sekali gus membolehkan syarikat penerbangan AS membayar gaji lebih 32,000 pekerja sehingga 31 Mac depan, kata sumber kepada Reuters.

Rancangan mengenai pakej rangsangan bantuan Covid-19 dan pembiayaan kerajaan bernilai kira-kira AS$900 bilion (RM3.65 trilion) jika diluluskan Kongres itu merangkumi AS$1 bilion (RM4.05 bilion) kepada penumpang kereta api Amtrak, AS$14 bilion (RM56.72 bilion) untuk sistem transit awam dan AS$10 bilion (RM40.51 bilion) bagi lebuh raya negeri, kata pegawai kepada Ahli Demokrat senior.

Speaker Kongres, Nancy Pelosi dan Ketua Senat Demokrat, Chuch Schumer sebelum ini berkata, pakej itu akan memperuntukkan sejumlah AS$45 bilion (RM182.32 bilion) untuk sektor pengangkutan.

Ia juga dijangka merangkumi perubahan ketara kepada bagaimana Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyelia kapal terbang baharu susulan dua kes nahas Boeing 737 MAX di Indonesia dan Ethiopia yang mengorbankan 346 orang.

Bantuan kepada sektor pe­nerbangan itu muncul selepas lima bulan kesatuan penerbangan dan eksekutif syarikat penerbangan menyatakan pandangan supaya kerajaan memberi sokongan kepada industri tersebut yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pakej pengangkutan Co­vid-19 sebanyak AS$45 bilion (RM182.32 bilion) itu akan merangkumi AS$1.75 bilion (RM7.09 bilion) untuk lapangan terbang dan AS$200 juta (RM810.30 juta) bagi konsesi lapangan terbang serta AS$2 bilion (RM8.10 bilion) lagi kepada industri kenderaan persendirian, bas sekolah dan feri.

Syarikat penerbangan AS telah mengurangkan lebih daripada 32,000 pekerja Oktober lalu selepas langkah penyelamatan enam bulan AS$25 bilion (RM101.29 bilion) ber­akhir 30 September lalu.

Program bantuan baharu itu dijangka sejajar dengan program bernilai AS$25 bilion (RM101.29 bilion) diluluskan Kongres pada Mac yang memerlukan syarikat penerba­ngan besar membayar semula 30 peratus gaji pekerja dan menawarkan waran kerajaan di samping merangkumi syarat minimum penerbangan.

Syarikat penerbangan AS kerugian aliran tunai sehingga AS$180 juta (RM728.79 juta)setiap hari dengan jumlah penumpang turun 65 hingga 70 peratus dan kadar pembatalan tempahan juga meningkat. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya