Alibaba, Tencent tangguh kuasai iQIYI - Utusan Malaysia

Alibaba, Tencent tangguh kuasai iQIYI

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif iQIYI, Yu Gong semasa majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Amerika Syarikat, Nasdaq pada 2018. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Dua syarikat gergasi China, Alibaba Group Holding Ltd. dan Tencent Holdings Ltd. dilaporkan terpaksa menangguhkan hasrat membeli kepentingan dalam syarikat penyedia penstriman video milik Baidu Inc., iQIYI Inc.

Menurut laporan Reuters yang memetik sumber, kedua-dua syarikat masing-masing telah mengadakan perbinca­ngan secara berasingan namun dilaporkan terhenti selepas menolak penilaian sekitar AS$20 bilion (RM81.38 bilion) yang dituntut Baidu.

Pada masa yang sama, Alibaba dan Tencent yang masing-masing mempunyai syarikat penyedia penstriman video sendiri turut berhadapan dengan penguatkuasaan lebih ketat daripada pengawal selia antimonopoli China.

Satu lagi syarikat gergasi teknologi China, TikTok juga dilaporkan telah melihat kemungkinan untuk memperoleh saham dalam iQIYI.

Dianggap setaraf dengan Netflix Inc., iQIYI yang tersenarai dalam Nasdaq mempunyai modal berjumlah AS$16.4 bilion (RM66.73 bilion) merangkumi kepentingan Baidu sebanyak 56.2 peratus bernilai AS$9.2 bilion (RM37.43 bilion).

Tencent yang telah menunjukkan minat terhadap iQIYI sejak pertama kali dilaporkan Reuters Jun lalu, percaya syarikat itu bernilai kira-kira separuh daripada apa yang diminta Baidu.

Walau bagaimanapun, Baidu, iQIYI dan Tencent enggan mengulas mengenai perbincangan pembelian tersebut manakala ByteDance pula tidak mahu mengulas sejauh mana minatnya terhadap iQIYI.

Alibaba pula tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk memberi komen.

Walaupun iQIYI adalah syarikat kedua terbesar di pasaran penstriman video di China, syarikat berkenaan masih belum mencatatkan pulang modal sejak 10 tahun lalu.

Pendapatan suku tahunan terbaharunya menunjukkan penurunan hasil dan pelanggan sekali gus menyebabkan iQIYI kehilangan hampir seperlima nilai saham dalam tempoh dua minggu lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya