Wujud persaingan tidak adil? - Utusan Malaysia

Wujud persaingan tidak adil?

Mampukah perusahaan kecil dan sederhana tempatan bersaing dengan syarikat lebih besar di bawah RCEP? – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan advokasi dan penyelidikan antarabangsa, Third World Network (TWN) bimbang mengenai kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa apabila Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dikuatkuasakan kelak.

Kebimbangan itu disuarakan oleh Pengarah TWN, Chee Yoke Ling kemungkinan berlaku persaingan yang tidak adil antara syarikat besar asing dengan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk golongan petani.

“Kedua, penambahan hak dan perlindungan kepada pelabur asing yang menyusahkan syarikat tempatan. Pelabur asing mesti diberi layanan sama dengan syarikat tempatan dan boleh juga dilayan lebih baik tetapi syarikat tempatan tidak boleh dilayan lebih baik,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia bersama 14 negara lain menandatangani RCEP pada penghujung Sidang Kemuncak ASEAN, Ahad lalu. Perjanjian itu akan berkuat kuasa apabila proses ratifikasi oleh setiap negara anggota selesai.

Menurut Yoke Ling, RCEP menjanjikan seribu satu kebaikan dan harapan, namun adakah Malaysia mampu mengekstrak segala manfaat yang datang bersamanya?

Malah, Yoke Ling melihat tiada jaminan bahawa Malaysia akan mendapat segala manfaat yang diharapkan daripada perjanjian tersebut.
Katanya, antara manfaat yang sangat diharapkan adalah pertambahan eksport untuk negara-negara anggota RCEP tetapi penarikan diri India menyukarkan usaha tersebut.

“Malaysia dan negara-negara ASEAN sedah mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan. Perdagangan akan terus berjalan dengan mereka.

“Tanpa akses pasaran yang bermakna tetapi dibebani pula dengan sekatan ruang membuat dasar berkaitan pelaburan, perkhidmatan dan sebagainya, RCEP pada akhirnya tidak memastikan faedah untuk negara kita,” katanya.

Yoke Ling turut mengkritik ‘kerahsiaan’ teks RCEP yang hanya didedahkan pada hari ia ditandatangani selain mendakwa kekurangan kajian kos faedah yang sangat diperlukan.

“Perundingan komprehensif dengan semua pihak yang mungkin terjejas tidak dilihat. Walaupun perundingan mungkin diadakan pada peringkat awal bersama persatuan pekilang dan pihak tertentu, tiada perbincangan yang lebih luas.

“Tanpa maklumat terperinci perundingan tidak menjadi bermakna atau berkesan. Beberapa tahun dulu, pembocoran draf mengenai bab pelaburan dan harta intelek sahaja yang diperoleh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN