Untung bersih suku ketiga Malakoff RM50.8 juta - Utusan Malaysia

Untung bersih suku ketiga Malakoff RM50.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malakoff Corp. Berhad mencatatkan penyusutan keuntungan bersih sebanyak 46.24 peratus kepada RM50.8 juta dalam suku ketiga tahun ini berbanding RM94.49 juta pada 30 September 2019.

Menurut Malakoff dalam makluman kepada Bursa Malaysia, perolehan syarikat tenaga itu turut menurun sebanyak 20.23 peratus dalam tempoh tiga bulan antara Julai hingga September 2020 berjumlah RM1.48 bilion berbanding RM1.86 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

Malakoff memberitahu, kemerosotan pendapatan syarikat dalam suku ketiga sebahagian besarnya disebabkan pembayaran tenaga lebih rendah dicatatkan Segari Energy Ventures Sdn. Bhd. (SEV) di samping Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) akibat penurunan harga arang batu.

Walau bagaimanapun, Malakoff berkata, penurunan itu berjaya disederhanakan menerusi sumbangan anak syarikat yang baru dibeli iaitu Alam Flora Sdn. Bhd. (AFSB).

“Sejajar dengan itu, Kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai lebih rendah sebanyak 51.4 peratus kepada RM67.6 juta daripada RM139 juta yang dilaporkan pada suku yang sama berakhir 30 September 2019.

“Ia sumbangan daripada AFSb serta pelaburan dalam syarikat bersekutu yang tidak mengambil kira kerugian saham sebanyak 40 peratus milik Kapar Energy Ventures Sdn. Bhd. (KEV), rosot nilai pada Disember 2019 dan sumbangan Shuaibah IWPP,” katanya dalam makluman tersebut.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, keuntungan bersih terkumpul daripada operasi meningkat kepada RM244.94 juta berbanding RM213.75 juta tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perolehan daripada operasi adalah rendah pada kadar RM4.76 bilion berbanding RM5.68 bilion tahun lalu.

Malakoff memberitahu, Belanjawan 2021 yang dibentang baru-baru ini berhubung projek pengagihan pembangunan elektrik luar bandar dan peluasan skim pembiayaan bernilai RM2 bilion untuk pelaburan teknologi hijau, memberi peluang baik kepada syarikat tenaga seperti Malakoff.

Selain itu katanya, peruntukan berjumlah RM500 juta bagi perkhidmatan pengurusan alam sekitar dan sisa turut menjadi peluang perniagaan kepada AFSB.

Jelasnya, syarikat juga sedang meneroka sektor tenaga bahan buangan (WTE), biogas dan loji jana kuasa biomas.

“Kumpulan akan menyertai tender untuk projek loji WTE yang berkapasiti 800 tan metrik sehari di Bukit Payong, Johor sebagai sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk menubuhkan enam loji WTE menjelang 2025.

“Untuk itu, Kumpulan akan terus memainkan peranan besar dalam sektor tenaga diperbaharui sejajar dengan sasaran kerajaan meningkatkan gabungan kapasiti RE semasa kepada 20 peratus menjelang 2025,” jelas syarikat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya