Tony jual rumah agam di Scotland - Utusan Malaysia

Tony jual rumah agam di Scotland

Rumah agam milik Tony Fernandes di Dalrymple, Ayrshire, Scotland. - THE SUN UK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan mahu menjual rumah agamnya yang bernilai 2.5 juta pound (RM13.56 juta).

Kediaman yang diberi nama Skeldon House itu terletak di Dalrymple, Ayrshire, Scotland.

Terletak di atas tanah berukuran 50.59 hektar, rumah agam lima bilik tidur itu dilaporkan dijual bagi menyelamatkan empayar perniagaannya, terutama syarikat Air­Asia yang mengalami kerugian sepanjang pandemik Covid-19.

TONY FERNANDES

Menurut The Sun UK, Tony memiliki kediaman itu sejak tujuh tahun lalu.

“Kediaman itu mempunyai bilik simpanan wain mewah, sebuah gimnasium dan sauna.

“Turut terdapat sebuah ge­langgang tenis yang sesuai untuk semua cuaca, terletak di tengah-tengah belantara yang mengelilingi kediaman tersebut,” lapor akhbar itu.

AirAsia mengalami kerugian akibat pandemik Covid-19 yang menyebabkan kebanyakan negara di dunia menutup sempadan sekali gus melumpuhkan sektor penerbangan.

Untuk terus bertahan, Air­Asia cuba meluaskan perkhidmatan ke sektor lain termasuk kesihatan serta industri makanan dan minuman.
Baru-baru ini juga tular gambar Tony sedang menjalankan perkhidmatan penghantaran makanan melalui cabang perniagaan baharu AirAsia, iaitu AirAsia Food.

Sementara itu, kedudukan AirAsia X makin parah apabila terus mencatatkan pe­ningkatan kerugian bersih sebanyak 34.17 peratus kepada RM308.46 juta pada suku ketiga tahun ini berbanding RM229.90 juta tempoh sama tahun lalu.

Penularan pandemik Co­vid-19 benar-benar menghimpit prestasi AAX apabila pendapatannya turut menjunam kira-kira 94 peratus kepada hanya RM59.91 juta antara Julai hingga September 2020 berbanding RM1.01 bilion tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AirAsia X memberitahu, kerugian operasi bersih pada suku ketiga pula meningkat kepada RM498 juta daripada hanya RM69 juta tempoh sama 2019.

“Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM308 juta bagi suku yang sedang dinilai berbanding RM305 juta kerugian sebelum cukai pada suku sebelum ini,” katanya.

Awal Oktober lalu, AAX mengumumkan pelan penstrukturan semula hutang di mana liabiliti tidak bercagarnya berjumlah RM9.2 bilion setakat 30 Jun 2020 dikurangkan menjadi RM200 juta mewakili pengurangan sekitar 98 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.