KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup di atas para 1,600 mata buat kali kedua berturut-turut semalam, meneruskan sentimen positif terhadap pasaran di Malaysia.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim melihat salah satu faktor yang mendorong pengukuhan tersebut ialah sentimen positif yang dibawa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menurut beliau, perjanjian multilateral itu akan memberi kemudahan untuk berdagang sesama ahli dan secara langsung memberi impak yang baik kepada sektor yang berkait dengan aktiviti eksport seperti pembuatan dan perladangan.
“Kami jangkakan Bursa Malaysia akan terus mengukuh dalam minggu akan datang.
“Para pelabur juga akan terus melihat langkah yang diambil Presiden terbaharu Amerika Syarikat (AS) untuk memperbaiki hubungan dagang dengan negara-negara Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bursa Malaysia ditutup lebih rendah petang semalam pada 1,604.75 mata, jatuh 5.40 mata berbanding 1,610.15 mata kelmarin.
Mengulas lanjut, Adam melihat berita penemuan interim dua vaksin oleh Moderna Inc. dan Pfizer bersama BioNTech baru-baru ini telah menyebabkan penjualan dalam kaunter sarung tangan.
“Tetapi impak ini telah diatasi sentimen optimis para pelabur untuk kaunter-kaunter lain seperti kaunter berkaitan minyak termasuk Petronas Chemical, Petronas Dagangan dan Dialog Group.
“Euforia penemuan ini dijangka berterusan selagi terdapat laporan positif mengenai keputusan ujian makmal vaksin Covid-19,” katanya.
Menurut beliau, sektor-sektor yang mengalami keuntungan buat ketika ini adalah perladangan dan sektor telekomunikasi manakala sektor sarung tangan adalah kaunter yang paling banyak mengalami kerugian ketika laporan positif mengenai vaksin Covid-19.
“Sektor perladangan akan terus kekal utuh di sebalik permintaan yang meningkat dari China dan India manakala sektor telekomunikasi juga akan terus meningkat dengan jaringan jalur lebar di seluruh negara.
“Sektor sarung tangan akan terus merekodkan keuntungan tetapi pada skala lebih kecil kerana permintaan sarung tangan dilihat telah mencapai kemuncak tahun ini,” katanya.- UTUSAN








