Naikkan 100 peratus cukai rokok, hasil tembakau - Utusan Malaysia

Naikkan 100 peratus cukai rokok, hasil tembakau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menaikkan sebanyak 100 peratus harga sekotak rokok dan cukai berasaskan hasil tembakau dalam Belanjawan 2021 sebagai usaha menjaga kesihatan rakyat negara pada jangka masa panjang.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berpandangan, langkah tersebut boleh memberi tekanan psikologi jangka panjang kepada golongan perokok di dalam negara supaya berhenti merokok.

Di samping itu kata beliau, kenaikan cukai dan harga rokok boleh dijadikan sumber pendapatan kepada negara.

“Memandangkan terdapat berjuta–juta rakyat Malaysia yang ketagih dengan rokok, kenaikan harga dan cukai terhadap komoditi ini dijangka dapat meningkatkan sumber pendapatan kepada negara kita.

“Sumber pendapatan ini dapat digunakan untuk pelbagai projek pembangunan dan pengurusan negara kita untuk tahun–tahun yang akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia semalam.

Muzaffar kata, dalam usaha menjaga kesihatan rakyat, sebarang bahan atau barangan yang boleh mengundang ketagihan serta membawa kepada masalah kesihatan seperti rokok boleh diberi peningkatan harga dan cukai yang berterusan setiap tahun.

“Umum mengetahui mengenai bahaya yang datang akibat daripada aktiviti ketagihan merokok terutamanya dari sudut kesihatan. Bahaya yang hadir daripada aktiviti merokok ini bukan sahaja akan mengundang bahaya kepada diri si perokok itu sendiri malah turut mengundang bahaya kepada orang sekeliling yang terpaksa bau asap yang dihasilkan oleh rokok terbabit,” katanya

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya merokok, namun, usaha berkenaan ibarat mencurah air di daun keladi kerana masih ramai dalam kalangan rakyat kita yang dilihat masih gemar untuk merokok.

“Apa yang turut menjadi kebimbangan, ketagihan merokok ini dilihat telah mula menular dalam kalangan orang–orang muda termasuklah mereka yang masih bersekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN