MDEC raih jualan dalam talian RM1.2b - Utusan Malaysia

MDEC raih jualan dalam talian RM1.2b

SEBANYAK lebih 45,000 PKS dan mikro baharu telah mendaftar dengan pelbagai platform e-dagang dan sebanyak 115,000 PKS lagi mendapat manfaat menerusi kempen tersebut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kempen e-dagang untuk perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang digerakkan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah berjaya meraih jualan sebanyak RM1.2 bilion.

Dalam masa yang sama, inisiatif yang merupakan sebahagian daripada pakej Penjana bernilai RM35 bilion itu turut berjaya menarik penyertaan sebanyak 115,000 usahawan mikro dan PKS menyertai sektor e-dagang.

Agensi utama yang bertanggungjawab terhadap dua program termasuk Shop Malaysia Online, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi konsep perkongsian awam swasta yang mana dibiayai secara bersama dengan 22 rakan e-dagang.

Menurut MDEC, sebanyak lebih 45,000 PKS dan mikro baharu telah mendaftar dengan pelbagai platform e-dagang dan sebanyak 115,000 PKS lagi mendapat manfaat menerusi kempen tersebut.

MDEC memberitahu jumlah jualan e-dagang yang dicapai menerusi kempen kini telah mencecah lebih RM332 juta.

Menerusi inisiatif Shop Malaysia Online pula, MDEC berkata kempen tersebut telah berjaya mencapai kejayaan apabila menjana jualan e-dagang melebihi RM896 juta dan memberi manfaat kepada lebih 7.8 juta pengguna serta lebih 210,000 peniaga di seluruh negara.

“Selain menjana jualan, kedua-dua inisiatif MDEC ini turut membawa kesan limpahan menerusi peningkatan bilangan perniagaan yang menggunakan kelebihan digital di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Selain itu, manfaat akan turut dirasai oleh pengusaha e-dagang tempatan yang lain seperti penyedia pemasaran digital, perkhidmatan penghantaran dan e-pembayaran,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, bilangan pengguna yang memilih untuk membeli-belah secara dalam talian semakin meningkat dalam keadaan norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, kempen e-dagang untuk perusahaan mikro dan PKS serta Shop Malaysia Online membuktikan bahawa perniagaan dan pengguna di Malaysia sudah bersedia untuk memasuki era digital di samping terus maju ke hadapan untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

“Hari ini kita telah mencapai kejayaan baharu dalam memperkembangkan jualan e-dagang di bawah Penjana dengan jumlah jualan sebanyak RM1.2 bilion dalam masa empat bulan.

“MDEC juga akan terus mempercepatkan transformasi digital dan menggalakkan penerimaan e-dagang dalam kalangan PKS serta mikro tempatan menerusi program eUsahawan dan Go-eCommerce sedia ada.

“Kedua-dua program itu dibangunkan untuk meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan warga Malaysia dan penggunaan teknologi digital oleh perniagaan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN