KWSP: Bayaran balik tunai i-Sinar tidak benar - Utusan Malaysia

KWSP: Bayaran balik tunai i-Sinar tidak benar

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan kenyataan tular di media sosial bahawa pencarum perlu membayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar daripada agensi tersebut adalah tidak benar.

Menurut KWSP, bagi ahli yang memohon i-Sinar, jumlah yang didahulukan daripada Akaun 1 akan diganti semula dengan caruman pada masa hadapan dengan 100 peratus caruman baharu akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1.

KWSP memberitahu, selepas jumlah amaun yang diakses daripada i-Sinar telah diganti semula sepenuhnya, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus untuk Akaun 1 dan 30 peratus Akaun 2.

“Amaun penggantian semula ini akan hanya diterima daripada caruman ahli di masa hadapan dan bukannya secara bayaran tunai daripada ahli yang menggunakan kemudahan i-Sinar.

“KWSP juga ingin mengingatkan pihak media supaya menggunakan ayat tepat iaitu penggantian semula berdasarkan kepada kenyataan media yang telah dikeluarkan pada 16 November.

“Penggunaan ayat-ayat tidak tepat seperti pembayaran balik, pembayaran semula, pembayaran kemudian dan seumpamanya telah mengakibatkan kekeliruan kepada ramai pihak terutamanya pencarum KWSP yang ingin memohon kemudahan i-Sinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kira-kira dua juta pencarum KWSP dibenar mengeluarkan wang daripada Akaun 1 menerusi program i-Sinar dengan pengeluaran maksimum RM60,000 bergantung kepada baki dalam akaun berkenaan.

Kebenaran pengeluaran daripada Akaun 1 yang sebelum ini diumumkan dalam Belanjawan 2021 dijangka membabitkan simpanan ahli berjumlah RM14 bilion.

Pengeluaran itu melibatkan ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dengan pencarum boleh memohon bermula Disember ini dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya