KDNK S3 diunjur negatif satu digit - Utusan Malaysia

KDNK S3 diunjur negatif satu digit

EKONOMI negara dijangka terus alami pertumbuhan pada tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara suku ketiga (S3) tahun ini diramal hanya menguncup 3.2 peratus, jauh lebih baik berbanding -17.1 peratus dalam suku kedua.

Ahli ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Mazlina Abdul Rahman berkata, pencapaian lebih baik itu dilihat akan disumbangkan oleh semua sektor ekonomi yang telah beransur pulih berikutan pembukaan semula ekonomi dalam suku tersebut.

Beliau berkata, sektor pertanian dijangka terus merekodkan pertumbuhan positif dipacu oleh eksport minyak sawit yang lebih tinggi.
Namun begitu, Mazlina berkata, sektor-sektor lain akan menyaksikan pengecutan tetapi dalam kadar lebih rendah berbanding suku kedua 2020.

“Sektor pembuatan dilihat akan menunjukkan pencapaian lebih baik dan signifikan sejajar dengan pertumbuhan eksport serta pengeluaran industri negara yang telah kemabli ke angka positif sejak beberapa bulan terakhir ini.

“Bagi unjuran keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, MIDF menjangkakan ekonomi negara akan menguncup pada kadar -4.8 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pertumbuhan KDNK suku kedua negara menguncup 17.1 peratus yang juga prestasi terburuk sejak Krisis Kewangan Asia dengan menyaksikan ekonomi negara berada pada kadar -11.2 peratus pada suku kedua 1998.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan KDNK suku ketiga, Jumaat ini.

Mazlina bagaimanapun me­lahirkan kegusaran mengenai prospek pertumbuhan pada suku keempat kerana terdapat lebih banyak risiko dan ketidakpastian berikutan peningkatan kes Covid-19 yang telah mendorong kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mazlina berkata, walaupun pelaksanaan PKPB dilihat tidak begitu ketat dan sebahagian besar aktiviti ekonomi dibenarkan untuk terus beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP), namun ia masih memberi sedikit kesan terhadap permintaan berikutan sekatan pergerakan fizikal.

Katanya, perbelanjaan pengguna akan berkurangan dan memberi kesan limpahan kepada sektor perkhidmatan terutamanya subsektor berkaitan dengan pengguna seperti penjualan runcit, restoran, hotel, pengangkutan, pendidikan dan rekreasi.

“Sokongan terhadap sektor pelancongan negara dilihat akan turut berkurangan.

“Namun, kami yakin risiko ini dapat dikurangkan melalui peningkatan pembelian dalam talian menerusi platform e-dagang, perkhidmatan penghantaran ke rumah dan perkhidmatan kewangan dalam talian seperti e-dompet,” katanya.

Mengulas perkembangan ekonomi tahun hadapan, Mazlina menjangkakan ekonomi negara akan pulih disokong oleh proses normalisasi secara beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran buruh yang lebih baik di samping dibantu peningkatan perdagangan luar.

“Berita terkini mengenai pengembangan vak­sin yang diumumkan Pfizer dan BioNTech memberikan sokongan kepada unjuran kami kerana vaksin tersebut dijangka disediakan dalam penggunaan terhad pada akhir Disember ini dan secara meluas pada suku ketiga 2021.

“Jangkaan pertumbuhan KDNK MIDF sebanyak tujuh peratus untuk tahun hadapan berada di antara unjuran Kementerian Kewangan dan BNM ia­itu antara 5.5 hingga lapan peratus, masih belum mencapai potensi KDNK yang seharusnya kita capai jika pandemik ini tidak berlaku,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN