
Setiap perniagaan pasti mahukan strategi yang terbaik agar dapat terus bersaing dan berkembang maju. Selain memastikan pengurusan operasi berjalan lancar, faktor pemasaran yang terancang dan efektif juga sentiasa menjadi keutamaan, apatah lagi dalam cabaran normal baharu dan sentimen pasaran yang masih tidak menentu ini.
Merangka strategi pemasaran melalui platform yang bersesuaian bukan sahaja membantu menjimatkan kos, tetapi turut memberi impak jauh lebih berkesan dalam meningkatkan hasil jualan disamping memperkukuh prospek perniagaan serta kredibiliti penjenamaan. Kini adalah masa mengawal perbelanjaan disamping berusaha menjana ‘ROI’ yang lebih baik.
Walaupun teknologi digital semakin mendominasi keperluan masa kini, para usahawan dan peniaga juga perlu memastikan keseimbangan dalam mengintegrasi strategi pemasaran mengikut segmen yang bersesuaian dengan kemampuan dan aspirasi perniagaan. Oleh itu, terdapat tiga segmen pemasaran yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen pemasaran dan promosi era digital kini.
Pemasaran ‘Above The Line’ (ATL). Segmen pemasaran ATL turut dianggap sebagai kaedah pemasaran secara besar-besaran yang melibatkan platform media massa seperti televisyen, radio, akhbar dan majalah. Ia diperakui sejak dahulu mempunyai capaian prospek yang luas, tetapi melibatkan kos periklanan yang agak mahal bagi sesetengah perniagaan.
Namun, kesan daripada krisis pendemik ini juga turut mempengaruhi pihak media massa untuk menawarkan pakej periklanan di platform konvensional dan digital dengan kadar yang lebih berpatutan. Jika tidak di televisyen, pakej periklanan radio, akhbar atau majalah yang menepati kriteria pasaran juga boleh dipertimbangkan. Pemasaran ATL masih diterima sebagai landasan ‘mainstream’ dengan liputan prospek pasaran yang luas.
Pemasaran ‘Below The Line’ (BTL). Ia merupakan salah satu segmen pemasaran yang telahpun dipraktikkan sekian lama dan terus releven mengikut arus kemajuan semasa. Berbeza dengan periklanan media massa, BTL melibatkan kos yang lebih rendah dengan fokus yang disasarkan terus kepada pelanggan serta prospek pasaran.
Kaedah pemasaran BTL merangkumi kempen ‘direct mail’ iaitu sebaran informasi perniagaan seperti katalog, risalah dan promosi melalui emel berdasarkan pengkalan data pelanggan. Antara kaedah terdahulu yang masih menjadi pilihan adalah sebaran risalah dan katalog fizikal kepada pelanggan atau menyasarkan lokasi tertentu yang berpotensi. Pemasaran BTL ini juga turut menjadi pemangkin dalam memperkukuh landasan pemasaran digital dan media sosial perniagaan melalui pendekatan yang lebih ‘personal’.
Pemasaran ‘Through The Line’ (TTL). Inilah segmen pemasaran yang terhasil daripada kewujudan era teknologi digital. Kini, sememangnya ramai yang sudahpun menyedari potensi pemasaran digital namun mungkin ada sebahagiannya yang belum memahami bahawa ia juga terkandung dalam segmen pemasaran yang tersendiri.
Pemasaran TTL merangkumi strategi pemasaran melalui platform digital perniagaan seperti laman web, blog dan media sosial. Ia perlu diuruskan sebaiknya dalam memperkukuh hubungan pelanggan dan potensi pasaran baharu. Oleh itu, memastikan kandungan yang bersesuaian secara berterusan sentiasa menjadi kepentingan untuk terus meningkatkan daya saing yang selaras dengan tuntutan pasaran.
Pada masa normal baharu inilah semakin banyak sektor perniagaan mula mempraktik, membangun dan menambahbaik fokus pemasaran digital dengan lebih giat. Ia akan terus menjadi dasar terpenting dalam landasan pemasaran kini dan di masa hadapan.
Justeru itu, pastikan pilihan segmen yang betul atau integrasi antaranya yang boleh melonjakkan lagi keberkesanan kempen pemasaran dengan lebih strategik dan kos efektif. Pemasaran berimpak tinggi amat penting untuk kebaikan jangka panjang dalam memperkukuh prospek pasaran yang mampan.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital.










