Inovasi, digitalisasi jadi solusi - Utusan Malaysia

Inovasi, digitalisasi jadi solusi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Majlis Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Inovasi dan digitalisasi boleh menjadi solusi bagi menangani norma baharu dunia yang wujud disebabkan pandemik Covid-19.

Kedua-dua elemen itu yang menjadi salah satu pemacu dalam Wawasan Putrajaya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2040 juga diyakini boleh menjadi penyelesaian jangka panjang dimanfaatkan pelbagai sektor ekonomi, terutama yang terkesan teruk akibat pandemik.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pemacu tersebut adalah yang paling kritikal berbanding dua lagi pemacu yang digariskan dalam Wawasan Putrajaya APEC 2040, iaitu pelaburan dan perdagangan serta pertumbuhan kukuh, seimbang, selamat, mampan dan inklusif.

“Misalnya, industri pelancongan yang terjejas teruk di seluruh dunia memerlukan solusi inovasi teknologi digital untuk kembali bernyawa. Sekiranya inovasi itu berjaya, maka untuk jangka panjang industri akan kembali berkembang dan menjadi pemangkin ekonomi dunia.

“Kejayaan pemacu utama ini juga akan menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan dengan secara langsung, seterusnya memberikan keputusan yang diperlukan oleh negara-negara APEC iaitu pemacu ketiga, pertumbuhan yang kukuh, seimbang, selamat, mampan dan inklusif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semua 21 pemimpin APEC mengakhiri mesyuarat ke-27 forum itu Jumaat lalu dengan bersepakat memeterai sebuah visi baharu yang dinamakan Wawasan Putrajaya APEC 2040 khusus untuk menjana masa depan rantau berkenaan.

Wawasan Putrajaya 2040 dipersetujui bagi memastikan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040, demi kemakmuran semua rakyat dan generasi akan datang semua anggota forum.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi melihat wawasan tersebut boleh memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya dengan membuka ruang untuk peningkatan pelaburan terutamanya pelaburan asing, sekali gus membuka peluang pekerjaan dengan banyak.

“Ia juga dapat meninggikan keupayaan tahap teknologi dengan pengaliran teknologi luar terutamanya dari segi digitalisasi dan memperbaiki perhubungan internet di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar.

“Wawasan ini juga dapat meningkatkan pembangunan industri logistik yang menjadi sandaran utama industri e-dagang dan memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadi enjin utama dengan peningkatan pengetahuan kemahiran ekonomi digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN