Garuda terbit bon RM2.45 bilion - Utusan Malaysia

Garuda terbit bon RM2.45 bilion

Penularan pandemik Covid-19 telah menjejaskan operasi Garuda Indonesia sehingga memaksa syarikat penerbangan itu mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan melalui terbitan bon. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Garuda Indonesia telah mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya untuk menerbitkan bon berjumlah 8.5 trilion rupiah (RM2.45 bilion) bagi membantu syarikat penerbangan milik negara itu keluar daripada kemelut kewangan akibat pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Garuda, Irfan Setiaputra, bon ter­babit dengan tempoh matang selama tujuh tahun, akan dibeli oleh Kementerian Kewa­ngan Indonesia melalui syarikat pelaburannya, PT Sarana Multi Infrasturktur.

“Kami berharap penerbitan bon ini akan membantu mempercepatkan pemulihan industri penerbangan, yang secara langsung akan membantu pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam taklimat secara maya.

Irfan berkata, penjualan bon itu akan digunakan untuk menampung kos operasi dan aliran tunai syarikat.

Garuda berdepan masalah kewangan yang serius berikutan penularan wabak Covid-19 yang turut menjejaskan industri penerbangan global.

Syarikat penerbangan itu pada Julai lalu menyatakan, jumlah penumpangnya jatuh sebanyak 90 peratus disebabkan wabak berkenaan.

Keadaan itu mendorong Garuda mendapatkan pinjaman daripada kerajaan, selain terpaksa menunda tempoh matang bon Islamik berjumlah AS$500 juta (RM2.044 bilion) yang diterbitkannya dan matang pada Jun lalu.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun ini iaitu antara Januari hingga September, syarikat itu melaporkan kerugian bersih sebanyak AS$1.07 bilion (RM4.38 bilion), berdasarkan laporan kewangan belum diedit.

Tahun lalu, Garuda merekodkan keuntungan sebanyak AS$122.42 juta (RM500.61 juta).

Irfan berkata, pihaknya berharap hasil jualan bon itu dapat diterima menjelang akhir tahun ini.

Penularan wabak Covid-19 juga mendorong Garuda untuk berunding semula dengan Airbus mengenai penghantaran empat buah pesawat A330neos dijadual pada tahun ini.

Garuda sepatutnya menerima pesawat berkenaan pada tahun ini, namun terpaksa ditangguhkan. Syarikat itu telah menempah sembilan buah pesawat A330neos daripada Airbus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya