KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 adalah langkah penting untuk membolehkan negara menghadapi krisis Covid-19 secara jitu dan bergerak maju dengan harapan dan keyakinan.
Pengerusi Khazanah Research Institut (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, dalam menghadapi wabak Covid-19, kerajaan telah memberikan peruntukan yang tertinggi bagi sektor kesihatan.
Beliau berkata, selain peruntukan khusus untuk Covid-19, langkah-langkah meningkatkan daya tahan rakyat secara keseluruhan terhadap pelbagai penyakit amat dialu-alukan, termasuk peruntukan RM90 juta untuk program imunisasi pneumokokus yang diharapkan dapat melindungi 500,000 kanak-kanak.
“Peruntukan untuk kesihatan ini diharapkan akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang baik dalam menangani krisis kesihatan awam yang sedang dihadapi,” katanya mengulas pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat lalu.
Nor Mohamed berkata, penambahbaikan dalam bantuan sosial untuk golongan miskin dan rentan juga amat tepat bertepatan dengan semakan semula pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang telah meningkatkan jumlah isi rumah dikategorikan sebagai “miskin”.
Katanya, peningkatan jumlah bantuan untuk orang kurang upaya, warga tua dan keluarga miskin yang mempunyai ramai tanggungan akan memberikan sokongan yang sangat diperlukan oleh golongan tersebut dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Pelaksanaan Skim Prihatin Rakyat (BPR) akan menambahbaik penyampaian skim sedia ada (Bantuan Sara Hidup) dengan mengambilkira tanggungan dan kepelbagaian keperluan isi rumah,” katanya.
Nor Mohamed menambah, Belanjawan 2021 juga menunjukkan komitmen Kerajaan dalam meningkatkan peluang pekerjaan, sekali gus memberi manfaat kepada golongan belia dan graduan.
“Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja), Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) dan sambungan subsidi upah bersasar adalah bertepatan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Melalui inisiatif-inisiatif ini, lebih daripada 500,000 pekerjaan baharu disasarkan tahun depan. Diharapkan inisiatif ini akan memberi kesan positif kepada pasaran buruh negara,” katanya. – UTUSAN










