ASNB bakal lancar unit amanah baharu hari ini - Utusan Malaysia

ASNB bakal lancar unit amanah baharu hari ini

Mohammad Hussin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan unit amanah, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang juga anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) bakal melancarkan sebuah produk unit amanah baharu hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pelancaran produk tersebut akan disempurnakan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz semasa majlis pelancaran rasmi Minggu Saham Digital (MSD).

Menurut Mohammad, pro­duk tersebut telah pun dijual secara jualan terhad sebelum ini namun enggan mengulas lanjut.

“Apa yang boleh saya katakan, produk ini berbentuk global memandangkan kadar dasar semalaman (OPR) yang turun sehingga 1.75 peratus. Kalau pendapatan tetap menurun dan kadar ekuiti tidak naik, ia akan menyukarkan kami.

“Justeru, kita memang tak boleh lari dan terpaksa membuat pelaburan di luar negara tetapi dilakukan secara perlahan-lahan untuk tidak menjejaskan kadar tukaran mata wang,” katanya kepada Utusan Malaysia secara maya semalam.

MSD iaitu adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) telah membuka tirai semalam sehingga 24 November depan, bakal menampilkan barisan penceramah serta personaliti terkenal menerusi pelbagai program menarik.

Orang ramai boleh mengikuti program berkenaan bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam menerusi laman Facebook dan saluran YouTube MSD.

Majlis pelancaran MSD akan disempurnakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan akan ditemani Zeti serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan memberi pesanan video eksklusif semasa acara pelancaran.

Dalam pada itu, Mohammad memberitahu, program tahunan minggu saham akan terus diadakan secara dalam talian bagi tahun-tahun akan datang, bukan lagi secara fizikal.

Katanya, program secara fizikal akan dilaksanakan menerusi acara-acara lain yang dirasakan sesuai bergantung kepada situasi selepas ini.

“MSD ini adalah pendekatan baharu PNB dan ASNB dengan program secara digital ini akan diteruskan dalam usaha mendidik masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN