Untung selepas cukai Hartalega melonjak 428 peratus - Utusan Malaysia

Untung selepas cukai Hartalega melonjak 428 peratus

HARTALEGA rugi pada suku ketiga 2022 berikutan kurang permintaan sarung tangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) melonjak kepada RM550 juta, bagi suku kedua berakhir 30 September 2020, peningkatan ketara 428 peratus daripada RM104 juta pada suku sama tahun lalu.

Keuntungan sebelum cukai bagi suku tahun tersebut pula meningkat kepada RM683 juta manakala hasil melonjak kepada RM1.35 bilion.

Bagi separuh pertama tahun kewangan, kumpulan mencatatkan untung selepas cukai RM771 juta, lebih tinggi berbanding RM198 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, manakala untung sebelum cukai meningkat kepada RM956 juta dengan hasil bertambah kepada RM2.27 bilion.

Prestasi kumpulan dipacu oleh hasil jualan lebih tinggi yang diraih daripada jumlah jualan dan harga jualan purata lebih tinggi disokong oleh usaha syarikat meningkatkan kecekapan pengeluaran.

Pendapatan sesaham (EPS) bagi suku tahun yang dilaporkan adalah sebanyak 15.95 sen manakala untuk tempoh enam bulan mencatatkan EPS pada kadar 22.38 sen. Nilai aset bersih sesaham berada pada paras 99 sen pada 30 September 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata, pandemik Covid-19 terus memacu permintaan global bagi bekalan perubatan, termasuk sarung tangan, yang merupakan alatan perlindungan diri kritikal susulan gelombang ketiga di Malaysia dan bilangan kes yang semakin meningkat di Amerika Syarikat, India, Latin Amerika dan Eropah.

“Walaupun sektor sarung tangan kini mengalami peningkatan permintaan berstruktur yang muncul ekoran penggunaan sarung tangan lebih tinggi disebabkan oleh perubahan tingkah laku pengguna dan tahap kesedaran yang lebih tinggi tentang kebersihan.

“Melalui situasi ini, kami meramalkan peningkatan permintaan sarung tangan akan berterusan, dan permintaan dijangka mengatasi bekalan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, untuk memastikan kumpulan bersedia memenuhi pertumbuhan permintaan, pelan perkembangan telah dipercepatkan dengan pengoperasian Kilang 6 dalam Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) pada bulan ini.

“Kami gembira kerana kecekapan operasi dan keupayaan pengurusan projek kami membolehkan Kilang 6 beroperasi sepenuhnya setahun lebih cepat daripada jadual,” katanya.

Tambah Mun Leong, Kilang 7 yang sedang dibina untuk menghasilkan produk terkhusus akan menambah kapasiti terpasang tahunan sebanyak 2.7 bilion unit.

“Kami juga akan memulakan pembinaan Kilang 8 hingga 11 di atas tanah yang dibeli bersebelahan NGC, yang akan meningkatkan kapasiti terpasang dengan keupayaan pengeluaran tambahan 19 bilion unit setahun apabila siap kelak.

“Pertumbuhan jangka panjang ini akan dipacu oleh NGC 2.0, dengan pentauliahan barisan pengeluaran pertama dijangka pada tahun kalendar 2022,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan tetap yakin terhadap prospek untuk tahun-tahun akan datang yang dipacu oleh permintaan semakin meningkat bagi sarung tangan getah dan pelan perkembangan strategik syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.