Tutup operasi satu pilihan – Tony Fernandes - Utusan Malaysia

Tutup operasi satu pilihan – Tony Fernandes

Tony Fernandes
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Langkah untuk menutup operasi AirAsia Jepun hanyalah satu daripada pilihan dengan keputusan tersebut masih belum diputuskan secara muktamad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memaklumkan, sebarang keputusan mengenai operasi syarikat penerbangan rendah di negara tersebut hanya akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Katanya, AirAsia Jepun adalah sebuah syarikat kecil yang sedang dalam proses peningkatan sebelum penularan Covid-19 merencatkan usaha tersebut.

“Kita bukanlah menghentikan laluan bagi AirAsia Jepun kerana kita memang tidak boleh terbang sekarang. Lembaga pengarah sedang menilai sebarang kemungkinan termasuk menghentikan operasi.

“Segala laporan yang keluar di media ketika ini hanyalah spekulasi. Saya boleh sahkan yang kami sedang melihat beberapa pilihan termasuk menutup operasi. Keputusan akan dibuat dalam tempoh seminggu lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Redbeat Academy di sini semalam.

Akademi ditubuhkan AirAsia Digital dengan kerjasama Google itu dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Tony berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa AirAsia Japan Co. Ltd, syarikat bersekutu AirAsia Group Bhd. akan menamatkan operasinya selepas permintaan yang terus menurun akibat pandemik Covid-19.

Memetik laporan Bloomberg semalam, AirAsia Jepun telah memaklumkan kepada pihak berkuasa yang ia merancang untuk menamatkan operasi.

Pada 18 September lalu, Tony dilaporkan berkata, spekulasi tentang penggantungan operasi AirAsia Jepun hanya khabar angin.

“Saya tidak tahu dari mana berita ini datang tetapi yang jelas, kami memang sedang menilai semula semua operasi kami pada bila-bila masa.

“Kami terpaksa tunggu dan lihat tetapi setakat ini tiada apa-apa yang dirancang…ia hanya khabar angin,” katanya seperti dipetik Bernama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya