Tiba masa ‘Wau Bulan’ direhatkan? - Utusan Malaysia

Tiba masa ‘Wau Bulan’ direhatkan?

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

TIDAK dapat dinafikan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) sememang­nya merupakan kebanggaan negara apatah lagi dengan tanggungjawabnya sebagai ‘barisan hadapan’ mempromosi Malaysia di mata dunia.

Namun begitu, tidak semuanya indah untuk syarikat penerbangan negara itu lebih-lebih lagi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

MAS berhadapan masalah kewangan serius dengan kerajaan terpaksa menyuntik berbilion dana bagi memastikan kebanggaan negara itu terus ‘hidup’ hingga terpaksa melakukan penstrukturan semula pada 1 September 2015 di bawah syarikat induk Malaysia Aviation Group (MAG).

Menurut penganalisis industri penerbangan Endau Analy­tics, Shukor Yusof, MAS telah mengalami kerugian besar sehingga RM3.15 bilion sejak 2015 hingga 2018.

Bukan tiada usaha ‘menyelamatkan’ MAS, sudah ba­nyak yang telah dirancang malah syarikat itu sendiri dalam landasan terbaik untuk kembali pulih menerusi rancangan perniagaan jangka panjang (LTBP) yang diumumkan awal 2019.

Usaha itu tampak sedikit membuahkan hasil dengan MAG berjaya memperoleh pendapatan selepas cukai bersih (NIAT) lebih baik berbanding 2018 iaitu 18 peratus lebih tinggi daripada sasaran, manakala pendapatan kumpulan turut berkembang tujuh peratus.

Walau bagaimanapun, semuanya berubah tahun ini dengan sektor penerbangan menerima impak teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

MAS tidak terkecuali daripada terkena tempias hingga MAG terpaksa mengutus surat kepada pemberi pinjaman bahawa Kumpulan itu mungkin tidak dapat membuat pembayaran hutang selepas November kecuali jika menerima suntikan lebih banyak dana daripada Khazanah Nasional Bhd.

Kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak akan menyuntik dana lagi kepada MAS di sam­ping membiarkan Khazanah Nasional menentukan hala tuju syarikat penerbangan itu juga seolah-olah ultimatum bahawa mungkin sukar untuk menyelamatkannya lagi.

Jika difikirkan logik, berbilion dana yang telah dan mungkin akan disuntik lagi ke dalam MAS tentunya lebih baik disalurkan secara langsung kepada kelangsungan hidup rakyat yang juga terkesan dengan Covid-19.

Malah, cadangan menggantikan MAS dengan AirAsia juga perlu diteliti dan tidak ditolak mentah-mentah memandangkan syarikat penerbangan tambang murah itu dilihat lebih berpotensi membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Mungkin sudah tiba masanya ‘Wau Bulan’ yang sekian lama megah berterbangan akhirnya direhatkan selama-lamanya.
Malaysia juga mungkin akan melihat satu sahaja syarikat penerbangan nasional me­nguruskan perjalanan premium atau murah bagi membawa nama negara ke pelosok dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN