Pengalaman melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan krisis Covid-19 banyak merubah trend kehidupan kita semua. Impak yang dihasilkan juga secara tidak langsung memaksa banyak pihak untuk berubah dengan memanfaatkan kemudahan ‘online’ sebagai kaedah terbaik meneruskan pelbagai urusan.
Bagi sektor perniagaan, para usahawan mikro atau peniaga kecil sememangnya antara yang turut menerima kesan dan terjejas teruk. Ramai yang terpaksa bertungkus lumus mencari solusi terbaik agar perniagaan yang diusahakan dapat terus bertahan dan memilih untuk mula berniaga secara dalam talian dengan lebih giat bagi menjaga mata pencarian.
Penjimatan kos kebiasaannya menjadi faktor bagi peniaga mikro. Kebanyakan pasti tidak mahu melibatkan kos yang besar untuk pemasaran disebabkan faktor modal serta penawaran yang terhad kepada pasaran. Namun, ini tidak bermakna ia tidak boleh menjana hasil yang lumayan.
Berikut antara saluran digital yang boleh dimanfaatkan buat usahawan mikro dan peniaga kecil dalam menyokong strategi pemasaran digital yang efektif.
Whatsapp dan Telegram. Ia antara aplikasi pilihan para usahawan mikro membina prospek pasaran dan pelanggan melalui hubungan kenalan dan komuniti setempat. Anda boleh bermula dengan menyertai ‘groups’ sekitar komuniti yang membenarkan elemen promosi dikongsikan. Bina kenalan melalui topik-topik perbualan untuk engagement yang positif dan manfaatkan Whatsapp Status dan Broadcast Lists bagi tujuan yang sama.
Facebook. Manfaatkan teknik Storytelling melalui Facebook peribadi untuk memperkukuh pelanggan. Facebook turut menyediakan Marketplace untuk anda memasarkan produk selain menyertai pelbagai komuniti perniagaan. Potensi Facebook Page juga boleh dimanfaatkan untuk capaian prospek sasaran. Namun, ia melibatkan kos beriklan dan masih menjimatkan sekiranya anda merancang sasaran prospek dan lokaliti pasaran melalui teknik Copywriting yang betul.
Instagram. Jika anda mempunyai Facebook Page, ada baiknya mempunyai akaun Instagram kerana ia boleh diintegrasikan bersama. Instagram mampu menarik perhatian prospek melalui kelebihan gambar, video pendek, Insta Story dan Ig Live. Ia dapat membantu pemasaran dan promosi melalui kreativiti gambar, visual, penceritaan dan penggunaan hashtag kepada komuniti prospek. Namun, pastikan akaun disetkan kepada paparan umum.
TikTok. Tujuan bukan untuk berlibur, sebaliknya mempromosi perniagaan secara kreatif. Menawarkan pengeditan video berdurasi pendek yang unik, TikTok juga boleh dimanfaatkan sebagai antara saluran pemasaran yang berkesan. Anda boleh mencipta pengisian video pendek berkaitan produk dan servis sebagai elemen promosi yang unik dengan mudah. Lebih menarik, video tersebut boleh dimuat turun untuk dikongsikan di pelbagai saluran digital yang lain.
Komuniti Marketplace. Kini juga terdapat pelbagai kemudahan marketplace sebagai inisiatif membantu usahawan mikro. Ia kebiasaannya mengenakan syarat dan yuran yang berpatutan, namun mempunyai capaian prospek komuniti yang bagus. Secara tidak langsung, ia menyokong usaha pemasaran dan promosi anda melalui platform yang berkredibiliti.
Secara realiti, kesemua platform digital di atas telah membantu ramai usahawan mikro dalam meneruskan usaha pemasaran mendepani norma baharu. Setiap saluran ini mempunyai potensi dalam mengembangkan lagi prospek pasaran secara kos efektif dan berkesan.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital










