Saham FGV meningkat - Utusan Malaysia

Saham FGV meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saham FGV Holdings Berhad (FGV) mening­kat sebanyak 7.48 peratus atau lapan sen kepada RM1.15 dalam sesi dagangan semalam, selepas syarikat perladangan itu mene­rima tawaran pembelian daripada Perspective Lane (M) Sdn. Bhd.

Pada sesi dagangan sebelah pagi, sebanyak 10.12 juta saham bertukar tangan. Bagaimanapun, saham syarikat itu ditutup rendah sedikit kepada RM1.110 sen dengan nilai dagangan RM20.14 juta.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei dalam nota kajiannya mengekalkan ‘pegangan’ untuk saham FGV berikutan perkembangan tersebut dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.08 sesaham.

“Kami percaya sentimen harga saham akan berubah berikutan perkembangan terbaharu itu,” katanya lapor The Edge.

Beliau berkata, perkemba­ngan terbaharu itu juga boleh mencetus tawaran umum wajib berikutan nilai buku Perspective Lane berjumlah kira-kira RM1.9 bilion setakat 31 Disember 2018 (berbanding FGV kira-kira RM4.2 bilion pada 31 Disember 2019).

Untuk itu katanya, kelulusan diperlukan dalam me­syuarat agung luar biasa yang akan diadakan kelak.

FGV dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia kelmarin memaklumkan, syarikat itu te­lah menerima surat bertarikh 12 Oktober 2020 daripada Perspective Lane yang menyatakan minat menjadi pemegang saham menerusi suntikan aset perladangan ke dalam FGV.

“Apabila selesai, Perspective Lane berpotensi menjadi pemegang saham tunggal terbesar,” katanya.

Tambahnya, Ahli Lembaga Pengarah FGV memberi jaminan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan bahawa ia akan menjalankan kewajipannya dalam perbincangan terbabit dan sebarang perkembangan penting akan diumumkan.

Sementara itu, FGV mengumumkan meluaskan kemudahan simpanan pukal minyak sawit dengan menambah 35,600 tan metrik (MT) lagi tangki simpanan bagi memenuhi permintaan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, penambahan tangki simpanan ini membuktikan kepakaran petugas kumpulan dalam mengendalikan produk-produk mi­nyak sayuran dan bukan sayuran.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya