PKP 2.0 mungkin tidak dilaksana - Utusan Malaysia

PKP 2.0 mungkin tidak dilaksana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan kembali kes penularan jangkitan Covid-19 dalam negara sememangnya mencetuskan risiko kepada kedudukan ekonomi, namun kerajaan dijangka mengelak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara. 

Hal demikian kerana, menurut CGS-CIMB Research, pelaksanaan PKP 2.0 seperti yang telah dilaksanakan pada 18 Mac hingga 4 Mei lalu akan mengundang kesan negatif ekonomi lebih besar. 

Katanya, penguatkuasaan PKP sebelum ini telah mengheret Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua menguncup sehingga 17.1 peratus. 

CGS-CIMB berkata, langkah penjarakan fizikal telah mewujudkan tahap fleksibiliti dalam proses perniagaan yang dapat mengurangkan cabaran sisi penawaran. 

“Oleh itu, kami mengulangi unjuran pertumbuhan KDNK negara yang bakal menguncup 4.0 peratus tahun ini sebelum kembali positif pada kadar 7.5 peratus tahun hadapan. 

“Potensi risiko buruk terhadap senario asas kami adalah penguatkuasaan PKP yang dipertingkatkan secara berpanjangan di negeri terjejas dan/atau lonjakan kes Covid-19 baharu di negeri yang tidak terjejas ketika ini,” katanya dalam nota kajian hari ini. 

Semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 432 kes Covid-19 baharu sekali gus menjadi hari kelima berturut-turut kes melebihi angka 250. 

Sabtu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu kerajaan tidak akan melaksanakan semula PKP di seluruh negara walaupun peningkatan mendadak kes positif Covid-19 kerana hanya berlaku di kawasan-kawasan tertentu. 

Menurut Ismail Sabri, kawalan rentas negeri juga tidak akan dikenakan kerana tiada keperluan berbuat demikian ketika ini. 

Menyentuh mengenai pasaran ekuiti negara, CGS-CIMB berkata, kedudukan pasaran saham akan kembali memperoleh pemulihan pendapatan daripada Covid-19 pada tahun hadapan dengan tiada sebarang potensi gangguan berlaku. 

“Kami mengekalkan indeks penanda aras KLCI berada pada tahap 1,520 mata tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya