Permohonan moratorium bersasar boleh dibuat sehingga 2021 - Utusan Malaysia

Permohonan moratorium bersasar boleh dibuat sehingga 2021

Menurut BNM, pertumbuhan pembiayaan bersih menurun sedikit kepada 4.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada April. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peminjam yang mungkin menghadapi masalah membayar pinjaman pada masa hadapan masih boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar sehingga 2021.

Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu, bantuan akan diberikan mengikut keadaan pemohon, sama ada dalam bentuk pengurangan bayaran balik ansuran bulanan atau pelanjutan moratorium.

“Peminjam yang tidak memerlukan bantuan pada masa ini masih boleh memohon bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar sepanjang 2020 hingga 2021 jika keadaan kewangan mereka berubah pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut BNM, setakat 9 Oktober sebanyak 640,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman telah diterima dengan 98 peratusnya daripadanya telah diluluskan.

Daripada keseluruhan permohonan yang diluluskan, 40 peratus daripadanya telah diberikan pelanjutan moratorium manakala selebihnya menerima pengurangan bayaran ansuran.

“Dalam kalangan individu yang memohon bantuan bayaran balik pinjaman sehingga kini, kira-kira 50 peratus mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM5,000 atau kurang. 

“Sementara itu, 28 peratus adalah daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000. 

“Peminjam dalam segmen lain yang memerlukan bantuan juga tidak dipinggirkan, antaranya mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap dan mereka yang bekerja dalam sektor yang paling terjejas seperti sektor pelancongan,” katanya.

BNM menegaskan, bank dikehendaki memaklumkan kepada peminjam mengenai keputusan permohonan mereka dalam tempoh lima hari bagi peminjam individu dan 14 hari bagi peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Peminjam yang tidak menerima jawapan daripada bank mereka dalam tempoh yang ditetapkan ini boleh menghubungi BNMTELELINK di bnm.my/RAsurvey,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya