Membina ‘autoriti’ dalam pasaran digital - Utusan Malaysia

Membina ‘autoriti’ dalam pasaran digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah anda duduk di hadapan komputer sambil memikirkan bagaimana potensi teknologi digital ini boleh dimanfaatkan dalam memperkukuh aspirasi keusahawanan dan kerjaya anda?

Membina ‘autoriti’ dalam pemasaran digital merupakan antara perkara penting untuk terus berkembang maju dalam era digital kini. Ia membantu memperkukuhkan lagi keyakinan industri, pelabur, pelanggan dan prospek pasaran dengan menunjukkan bahawa anda mempunyai kepakaran dan kredibiliti dalam industri yang diceburi.

Melalui kaedah yang terancang dapat membantu membina ‘autoriti’ diri dan perniagaan sebagai antara pilihan industri dan pasaran. Oleh itu, berikut adalah asas penting dalam membina ‘autoriti’ digital.

Niche
Bina imej peribadi anda dengan fokus yang selaras dengan aspirasi kerjaya dan keusahawanan. Ia membantu menjenamakan diri dan perniagaan yang diceburi dalam membina kepercayaan kepada prospek pasaran bahawa anda komited dan boleh dipercayai.
Anda boleh mulakan dengan memastikan platform digital anda seperti laman web dan media sosial menampilkan gambar profail, biodata atau maklumat diri yang lengkap serta bersesuaian dengan niche perniagaan. Ia membantu membina asas kredibiliti bagi membuka pelbagai potensi digital.

Kandungan Berkualiti
Pastikan pengisian digital seperti artikel, video dan status di media sosial mempunyai informasi yang berkaitan dengan penglibatan kerjaya. Kandungan yang anda kongsikan sebaiknya bersifat 1st hand information. Sebagai contoh, sekiranya anda seorang ejen hartanah, anda boleh kongsikan pelbagai input berbentuk jurnal penglibatan, pengalaman, perspektif serta portfolio anda dalam niche industri hartanah secara konsisten.
Melalui kandungan yang berkualiti dan original bukan sahaja memberi maklumat yang bermanfaat kepada rakan dan pengikut media sosial, tetapi turut membantu menyuntik pengaruh dalam kalangan pelanggan dan prospek pasaran agar lebih yakin untuk berurusan dengan anda berbanding pesaing.

Serlahkan Personaliti
Menyerlahkan personaliti bukan bermaksud anda perlu menjadi seorang selebriti popular dalam talian. Namun, sekiranya ia membantu menjayakan fokus anda, ia mungkin baik untuk diusahakan. Namun, maksud yang lebih tepat adalah menyerlahkan online establishment kepada prospek pasaran yang anda sasarkan.
Atas faktor itu, niche serta kandungan berkualiti turut memainkan peranan penting dalam membantu membina kepercayaan dan keyakinan prospek. Ia juga merupakan faktor asas membina pelanggan melalui prospek dalam talian. Selain itu, anda juga boleh berkongsi pengetahuan sebagai guest writer kepada laman web lain yang lebih ber’autoriti’ serta terkait dengan niche kerjaya anda.

Kembangkan jaringan dalam talian.
Anda juga perlu sentiasa mengembangkan jaringan perkenalan seperti pengikut di media sosial, para subscriber blog dan kenalan profesional. Ia secara tidak langsung dapat membantu menambahbaik lagi pengetahuan, menyerlahkan personaliti dan niche termasuk membina hubu­ngan prospek yang lebih akrab.
Terdapat pelbagai cara untuk anda kembangkan jaringan atas talian, antaranya berkomunikasi dan berinteraksi secara membina di media sosial, berkongsi input melalui kandungan artikel blog dan video di pelbagai komuniti dalam talian serta terlibat dalam perbincangan yang terkait dengan aspirasi keusahawanan.
Justeru itu, sentiasalah mencari idea bagi membina perkongsian bermanfaat dalam linkungan kepakaran anda. Selain itu, pastikan setiap pelanggan mendapat perkhidmatan yang setaraf dengan keterampilan serta input yang anda kongsikan. Kepuasan pelanggan menjadi asas penting yang melonjakkan lagi ‘autoriti’ anda melalui testimoni serta rekomendasi dalam talian untuk apa jua pasaran yang diceburi.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN