Keuntungan Samsung dijangka naik 35 peratus - Utusan Malaysia

Keuntungan Samsung dijangka naik 35 peratus

Seorang model menunjukkan telefon Samsung Galaxy Z Flip dalam satu majlis di California, Amerika Syarikat baru-baru ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Keuntungan suku ketiga Samsung Electronics Co. Ltd. dijangka melonjak lebih daripada satu pertiga didorong pengukuhan penjualan telefon pintar dan tempahan cip memori tinggi daripada Huawei Technologies Co. Ltd.

Samsung yang juga pembekal cip memori terbesar dunia dijadual mengumumkan keuntungan dan pendapatan operasi awalnya bagi tempoh Julai hingga September, hari ini.

Menurut Refinitiv SmartEstimate yang memperoleh unjuran penganalisis, keuntungan syarikat itu dijangka naik mendadak sebanyak 35 peratus kepada 10.5 trilion won (RM37.72 bilion) berbanding tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan pula kemungkinan naik sebanyak tiga peratus.

Walaupun keseluruhan perniagaan cip Samsung agak perlahan, namun penganalisis berpendapat tempahan daripada Huawei bakal meningkatkan jualan.

Huawei berkemungkinan meningkatkan stok sebelum sekatan Amerika Syarikat (AS) bermula pertengahan September melarangnya membeli cip yang dibuat menggunakan teknologi AS tanpa lesen.

Perniagaan cip Samsung tahun lalu menyumbang kira-kira separuh daripada keuntungan syarikat.

Pesaing Samsung dari AS, Micron Technology Inc. telah mencatatkan keuntungan melebihi pasaran bulan lalu, dibantu oleh tindakan Huawei mendapatkan inventori.

“Tempahan tergesa-gesa Huawei dari penghujung Ogos mendorong penghantaran cip DRAM dan NAND Samsung sekali gus mengimbangi kesan akibat harga rendah dan mengehadkan keuntungan bahan semikonduktor dalam suku berkenaan,” kata penganalisis HI, Song Myung-Sup.

Berdasarkan data DRAMeXchange, harga cip DRAM yang membolehkan peranti melakukan pelbagai tugas dan cip NAND untuk penyimpanan data jatuh dalam suku ketiga tahun ini.

Keuntungan telefon pintar Samsung pula yang merangkumi satu pertiga daripada perolehan tahun lalu dijangka melonjak susulan peningkatan permintaan selepas pandemik Covid-19 yang merencatkan penjualan dalam separuh pertama tahun ini.

Penghantaran telefon pintar dalam suku ketiga dijangka meningkat 48 peratus kepada 80 juta berbanding dalam suku kedua menurut analisis dan data daripada Counterpoint Research.

Walau bagaimanapun, keuntungan daripada perniagaan paparan Samsung dijangka merudum susulan pelancaran telefon pintar baharu iPhone daripada Apple Inc.

Perolehan daripa­da peralatan per­ka­kas rumah dan televisyen bagaimanapun dijangka meningkat selepas Samsung menjual peranti secara dalam talian dan mengurangkan kos operasi.

Samsung dijadual mengeluarkan angka pendapatan terperinci bulan ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya