Tahun 1980-an adalah era bermulanya pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia. Selepas beroperasinya institusi perbankan Islam pertama pada 1983, ia disusuli dengan penubuhan pengendali takaful pertama di Malaysia pada 1984. Dengan itu, buat pertama kali masyarakat terutamanya yang beragama Islam, berupaya memiliki suatu sistem perlindungan patuh syariah yang sebelum itu hanya terbatas kepada sistem insurans konvensional.
Penubuhan syarikat takaful tersebut telah menjadi titik mula bagi sebuah industri takaful moden yang kini terdiri daripada 18 syarikat pengendali takaful dari dalam dan luar negara.
Selain wujudnya syarikat-syarikat pengendali takaful ini, Malaysia juga mempunyai rangka perundangan yang kukuh serta tersusun sebagai tulang belakang industri takaful. Antaranya, penggubalan Akta Takaful 1984 yang menjadi asas industri dan terus ditambah baik dengan penggantinya iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Model takaful sangat mudah, iaitu berdasarkan konsep syariah Tabarru’ atau sumbangan. Ia berteraskan sumbangan sesama sendiri bagi menjaga kemaslahatan semua ahli peserta takaful daripada risiko-risiko yang dipersetujui. Mudah kata, model ini seperti model khairat kematian.
Namun, sistem takaful ini berupaya memberikan pelindungan yang menyeluruh dan canggih setara dengan sistem insurans konvensional. Selain itu, manfaat perlindungan takaful juga dijamin oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
Pada masa ini, selain menyediakan produk-produk perlindungan diri, takaful juga berupaya melindungi harta. Namun begitu, kadar penyertaan skim takaful jika dibandingkan dengan skim insurans, ternyata masih rendah walaupun telah bertapak hampir 40 tahun.
Menurut statistik, pada 2019 kadar penembusan penerimaan takaful adalah antara 14 peratus hingga 15 peratus sahaja berbanding insurans kovensional. Antara sebab yang biasa didengari adalah, ada pemegang skim insurans konvensional berat hati untuk menukar kepada skim takaful kerana sudah lama berlanggan dengan produk tersebut dan risau hilang manfaat jika bertukar.
Oleh itu, tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan dan kelebihan sistem takaful harus ditingkatkan supaya potensi industri takaful dapat dibangunkan sepenuhnya. – UTUSAN










