KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang melanda negara perlu diselesaikan segera bagi menyelamatkan ekonomi daripada terjerumus ke dalam kemelesetan.
Kestabilan politik bukan sahaja penting bagi menjamin keyakinan pelabur malah memastikan Malaysia berada di landasan tepat bagi pemulihan ekonomi selepas dilanda badai penularan Covid-19, kata Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid.
Baharom berkata, kemelut politik sememangnya memberi impak besar terhadap ekonomi kerana boleh mengakibatkan ketidakstabilan pasaran kewangan dan saham.
Beliau berkata, sekiranya ‘drama politik’ yang berlaku berterusan, tidak mustahil ekonomi negara akan terencat dengan lebih teruk, walhal Malaysia perlu bangkit segera daripada kemelesetan akibat Covid-19.
“Pelan pemulihan ekonomi negara tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik selagi masalah melibatkan politik tidak selesai.
“Ahli-ahli politik yang bertanggungjawab perlu segera menyelesaikan isu ini supaya dapat mewujudkan kembali keyakinan semua pihak tidak kira pelabur, pengguna dan rakyat.
“Jangan cuba menangguk di air keruh dengan menggunakan kepentingan peribadi sedangkan rakyat makin tertekan dalam tempoh mencabar ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kemelut politik negara dilaporkan berpanjangan dengan UMNO menimbang menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) atau membuat syarat baharu secara perjanjian bertulis sebelum meneruskan kerjasama dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Difahamkan, rasa tidak puas hati pemimpin dan akar umbi UMNO kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang didakwa tidak menyebelahi parti itu.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, hanya Dewan Rakyat yang boleh menentukan kesahihan jawatan Perdana Menteri disandang Muhyiddin.
Selasa lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah mempersembahkan dokumen mengenai jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Tambah Baharom, kemelut politik yang melanda, akan turut merencatkan pembentangan Belanjawan 2021 dijadual 6 November ini, sekali gus menjejaskan penyaluran dana terutama kepada sektor awam dan lain-lain sektor yang terjejas akibat Covid-19.










