IPO: FGV nafi dakwaan Felda - Utusan Malaysia

IPO: FGV nafi dakwaan Felda

FGV tidak dapat mengulas bagaimana Felda menggunakan hasil daripada IPO. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) menegaskan, bukan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu pada 2012 yang menjadi punca kegagalan Felda, sebaliknya penggunaan pendapatan daripada IPO tersebut.

Menurut FGV, sehingga akhir 2018, syarikat itu telah membuat rosot nilai besar berjumlah RM780 juta untuk pelaburan baharu menggunakan hasil IPO tersebut.

“IPO FGV sering kali dikatakan punca kegagalan dan kejatuhan Felda. Isu sebenarnya adalah penggunaan hasil pendapatan daripada IPO, dan bukan IPO itu sendiri. Felda memperoleh RM5.7 bilion daripada IPO ini manakala FGV memperoleh RM4.5 bilion.

“FGV tidak dapat mengulas bagaimana Felda menggunakan hasil daripada IPO. Malang bagi FGV, sebahagian daripada hasil tidak dilaburkan dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pendapatan Felda daripada keuntungan operasi ladangnya merosot selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 2012.

Sebagai perbandingan, beliau membangkitkan keuntungan terbaharu Felda pada 2019 sebanyak RM16.51 juta yang jauh berbeza dengan keuntungan tertinggi dicatatkan Felda pada 2011, iaitu sebanyak RM1.85 bilion.

Idris turut mendakwa, FGV sepatutnya memulangkan hasil kepada Felda sebanyak RM800 juta setahun hasil tanah yang dipajak, namun Felda hanya menerima RM250 juta.

FGV menafikan dakwaan tersebut kerana menurutnya, perjanjian menyatakan bahawa jumlah yang perlu dibayar kepada Felda adalah RM248 juta setahun serta 15 peratus keuntungan operasi daripada tanah LLA.

“Sehingga ke hari ini, tanggungjawab FGV kepada Felda (menurut LLA) berjumlah RM248 juta setahun telah dipenuhi sepenuhnya.

“FGV telah membayar lebih daripada RM2.5 bilion kepada Felda dari 2012 sehingga 2019,” katanya.

Berkenaan hasrat Felda untuk mengambil semula 350,000 tanah yang dipajak, FGV memberitahu, pihaknya masih belum dihubungi Felda namun menjelaskan, penamatan LLA dibenarkan di bawah syarat perjanjian.

Namun, menurut FGV, aset-aset dalam LLA hanya melibatkan ladang-ladang dan tidak termasuk kilang-kilang sawit miliknya.

“Sekiranya Felda berhasrat ingin membeli kilang-kilang kelapa sawit FGV, ia harus berdasarkan ‘pembeli bersedia, penjual bersedia’ dan nilai pasaran semasa.
“Ia juga memerlukan kelulusan pemegang-pemegang saham yang lain melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya