Penggabungan UEM Sunrise, EcoWorld bukan langkah terbaik
KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan dua pemaju hartanah terkemuka, UEM Sunrise Bhd. dengan Eco World Development Group Bhd. disifatkan bukan langkah terbaik terutama kepada Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) sebagai pemegang saham terbesar.
Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, Eco World yang menanggung bebanan hutang tinggi hanya akan menjadi liabiliti kepada Khazanah.
Dalam masa yang sama, Baharom berkata, penggabungan itu dilihat sebagai satu bentuk bailout yang jelas dilakukan bagi menyelamatkan Eco World.
Baharom berkata, kebanyakan projek Eco World yang khusus untuk golongan elit juga amat bertentangan dengan aspirasi Khazanah bagi kediaman mampu milik.
“Saya tak nampak kesan limpahan daripada penggabungan ini secara umum atau khasnya kepada rakyat kerana ia tetap tidak akan dapat menurunkan harga rumah atau menyelesaikan masalah rumah mewah tidak terjual.
“Kalau kita tengok kepada projek-projek yang dibangunkan Eco World, kira-kira 70 peratus daripadanya adalah projek mewah untuk golongan elit dan apabila tidak terjual jelas mengundang masalah.
“Khazanah patut melihat kepada sejarah penubuhan Eco World dahulu dengan tidak meneruskan hasrat cadangan penggabungan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Anak syarikat milik penuh Khazanah, UEM Group iaitu syarikat induk UEM Sunrise dalam kenyataan mengumumkan sedang meneroka peluang proses penggabungan antara UEM Sunrise dengan Eco World sekali gus mewujudkan satu daripada syarikat pemaju hartanah terbesar di Malaysia.

UEM Group berkata, ia telah pun menghantar surat kepada Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat bagi mempertimbangkan potensi penggabungan itu.
“Dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM173.2 bilion dan pemilikan tanah lebih daripada 6,879 hektar dalam negara, UEM Group percaya penyatuan industri ini akan mencipta nilai kepada semua pemegang saham,” kata UEM Group dalam kenyataan itu.
Jika penggabungan itu dimeterai kelak, Eco World akan menjadi anak syarikat milik penuh UEM Sunrise dan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia, manakala Khazanah menerusi UEM Group akan kekal menjadi pemegang saham tunggal terbesar UEM Sunrise dan juga Eco World.

UEM Sunrise mempunyai projek di Semenanjung Malaysia dan Australia dengan pemilikan tanah melebihi 4,856.23 hektar kebanyakannya di Iskandar Puteri, Johor di mana syarikat itu adalah pemaju utama.
Eco World pula yang telah melancarkan 25,357 hartanah dengan nilai jualan sebanyak RM20.5 bilion sejak wujud pada 2013 mempunyai 27 peratus kepentingan dalam Eco World International Bhd. iaitu sebuah syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia yang mempunyai projek di United Kingdom dan Australia.
Saham UEM Sunrise naik 8.33 peratus kepada RM0.39 sen sesaham ketika sesi ditutup semalam dengan permodalan pasaran mencecah RM1.63 bilion manakala saham Eco World turut melonjak 3.80 peratus kepada RM0.41 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.16 bilion. – UTUSAN









