Felda, FGV terpesong? - Utusan Malaysia

Felda, FGV terpesong?

‘Persengketaan’ antara Felda dan FGV hanya akan merugikan peneroka yang masih perlukan pembelaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perlu kembali kepada matlamat asal bela peneroka

KUALA LUMPUR: Beberapa keputusan yang diambil pemegang taruh Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) didakwa telah ‘terpesong’ daripada matlamat asalnya untuk kesejate­raan peneroka.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewa­ngan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keputusan-keputusan yang dilakukan itu dilihat mendahulukan kepentingan pihak pengurusan dan pihak berkepentingan lain, sedangkan kepentingan peneroka dipinggirkan.

“Felda dan FGV sepatutnya berlandaskan matlamat induk yang asal, iaitu memikirkan ke­sejahteraan peneroka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara keputusan ‘terpesong’ yang dibuat kedua-dua agensi dan syarikat itu, menurut Baharom adalah membuat pelaburan di luar kepakaran, pelaburan hartanah dan luar negara, pelaburan yang tiada hubungan langsung dengan kebajikan peneroka dan memberi imbuhan yang luar biasa kepada pengurusan.

FGV dan Felda baru-baru ini dilihat seolah-olah ‘bersengketa’ apabila berbalas kenyataan tentang Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan bayaran yang sepatutnya diserahkan secara tahunan oleh FGV kepada agensi itu.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan bahawa Felda akan menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion bagi membantu melangsaikan hutang agensi kerajaan itu yang berjumlah lebih RM10 bilion. Felda juga dijangka menamatkan perjanjian sewaan tanah dengan FGV.

Kata beliau, Felda dan FGV seharusnya saling melengkapi dan bantu-membantu, bukannya saling bercakaran dan bersaing hingga menjatuhkan satu sama lain.

“Model perniagaan yang digunakan memerlukan mereka bekerjasama, yang mana FGV mempunyai kilang memproses di atas tanah Felda dan sawitnya juga di bawah Felda; namun hakikatnya mereka seolah-olah menekan satu sama lain.

“Untuk kembali ke struktur asal, penyatuan kembali memerlukan kos yang terlalu tinggi dan agak terkebelakang. Satu pelan transformasi untuk memperincikan kerjasama harus dilakukan dan harus mempunyai garis masa serta kerangka yang dilaksanakan secara jitu agar kembali ke landasan asal memaksimumkan impak sosial untuk peneroka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN