Belum tiba jual aset Felda – Idris - Utusan Malaysia

Belum tiba jual aset Felda – Idris

IDRIS Jusoh (kiri) menerangkan carta aspirasi dan visi Felda kepada Abdul Wahid Omar sambil diperhatikan oleh Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff (kanan) di Menara Felda, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) belum berhasrat untuk melupuskan aset-asetnya termasuk di London yang telah menerima tawaran sebanyak 300 juta pound (RM1.617 bilion).

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, aset-aset milik agensi itu hanya akan dilupuskan pada masa dan harga yang sesuai.

Katanya, selain hotel di London, Felda turut mempunyai aset iaitu Kuching Merdeka Pa­lace di Kuching, Sarawak; Grand Borneo di Sabah dan beberapa rangkaian hotel di seluruh negara.

“Untuk melepaskan aset-aset ini, kita lihat nilai sebaiknya. Contohnya, kita telah dapat tawaran aset di London sebanyak 300 juta pound (RM1.617 bilion). Sebenarnya, kita berpendapat, tunggu dua tiga tahun lagi mungkin kita dapat 500 juta pound (RM2.695 bilion).

“Jadi, mungkin bukan masa­nya (sekarang) untuk kita berbuat demikian (menjual aset berkenaan). Kita hanya akan melepaskan aset-aset ini bila tiba masanya, bila masa sesuai dan harga sesuai, bukan jual semata-mata untuk jual,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Taklimat Khas kepada Ketua Editor di sini, semalam. Turut ha­dir, Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Felda melalui anak syarikat milik penuhnya, Felda Investment Corporation (FIC) dilaporkan telah membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London dengan harga 60 juta pound (RM330 juta) pada 16 Di­sember 2014.

Dalam pada itu, Idris berkata, Felda juga akan mempelbagaikan tanaman pada masa hadapan untuk meningkatkan pendapatan jangka panjang dan pendek, dengan tidak lagi hanya bergantung kepada kelapa sawit.

Tanaman itu termasuk tanaman kontan seperti nenas, herba, sayur-sayuran dan kelapa, bergantung kepada kesesuaian tanah serta telah bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Agro Bank bagi tujuan berkenaan.

Rancangan tanaman herba seperti kunyit hitam dan halia muda itu katanya, seiring dengan pelancaran Lembah Herba Wilayah Trolak yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Model baharu perniagaan itu katanya, membolehkan Felda terus meningkatkan pendapatan, seterusnya memberi manfaat kepada para peneroka.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, Felda yang baharu mendapat mandat daripada kerajaan akan mengadakan rundingan dengan pengurusan anak syarikatnya, FGV Holdings Berhad (FGV) berhubung penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya