Ahmad Fuaad CEO baharu UMW? - Utusan Malaysia

Ahmad Fuaad CEO baharu UMW?

Ahmad Fuaad Mohd. Kenali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengumuman rasmi difahamkan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: UMW Holdings Bhd. dikatakan telah pun mempunyai calon Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu bagi menggantikan Allahyarham Badrul Feisal Abdul Rahim yang meninggal dunia pada Mei lalu.

Menurut sumber, antara calon yang disebut-sebut bagi mengisi jawatan berkenaan ialah Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali yang telah meletakkan jawatan sebagai CEO Malakoff Corp. Bhd., Jumaat lalu.

Sebelum menyertai Malakoff, Ahmad Fuaad merupakan CEO Proton Holdings Bhd. sejak 1 April 2016 dan Ahli Lembaga Pengarah PHB Group sehingga 30 September 2017.

Beliau sebelum itu memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (Kewangan & Korporat) serta Ketua Pegawai Kewangan DRB-Hicom Bhd. dari Ogos 2013 hingga Mac 2016.

Ahmad Fuaad yang memulakan karier bersama Arthur Andersen & Co. pada 1994 juga pernah menyertai Petaling Garden Bhd. sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan pada 2001.

Pada 2008, beliau menyertai Ernst & Young sebagai Pe­ngarah Eksekutif selama dua tahun sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Astro Malaysia Holdings Bhd. bermula Ogos 2010 sehingga Julai 2013.

Difahamkan, UMW akan membuat pengumuman rasmi berhubung pelantikan Pre­siden dan CEO baharu dalam masa terdekat.
UMW ketika dihubungi enggan memberi komen lanjut mengenai perkara tersebut.

Ketika ini, UMW telah me­lantik Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Azmin Che Yusoff sebagai pemangku Pre­siden dan CEO syarikat berkuat kuasa 5 Jun lalu.

Jawatan tersebut kosong selepas Badrul Feisal meninggal dunia di KPJ Ampang Puteri akibat serangan jantung, penghujung Mei lalu.

Allahyarham yang berusia 50 tahun dilantik sebagai Pre­siden dan CEO pada 1 Oktober 2015, mula menyertai UMW sebagai Pengurus Besar Kanan di Pejabat Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada Disember 2010.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pemangku Pengarah Eksekutif bagi Bahagian Minyak & Gas UMW dari April 2011 hingga Disember 2011.

Badrul Feisal juga pernah menjadi Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Korporat Kumpulan sebelum dilantik sebagai Ketua Operasi Kumpulan UMW pada Januari 2013. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya