TikTok Global jadi subsidiari ByteDance - Utusan Malaysia

TikTok Global jadi subsidiari ByteDance

ByteDance dakwa TikTok Global menjadi subsidiari penyedia aplikasi itu meskipun Oracle dan Walmart yakin miliki majoriti pegangan. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Syarikat penyedia aplikasi dari China, ByteDance mengumumkan perniagaan global TikTok akan dijadikan subsidiari meskipun Oracle Corp. dan Walmart Inc. berkata, mereka akan memiliki majoriti pegangan dalam aplikasi video itu.

Semalam, ByteDance berkata, ia akan memiliki 80 peratus daripada TikTok Global, syarikat Amerika Syarikat (AS) yang baru ditubuhkan.

TikTok Global akan memiliki majoriti operasi aplikasi itu di seluruh dunia. Oracle dan Walmart yang telah bersetuju untuk membeli saham syarikat itu sebanyak masing-masing 12.5 peratus dan 7.5 peratus pula berkata, majoriti pegangan TikTok akan dimiliki AS.

Dalam kenyataannya semalam, ByteDance mengatakan, berita pelabur AS akan menjadi pemilik majoriti TikTok Global dan ByteDance akan kehilangan kawalan terhadap TikTok adalah khabar angin semata-mata. Walau bagaimanapun, Oracle dan Walmart masing-masing tidak mahu memberi reaksi terhadap ke­nyataan tersebut.

Beberapa sumber yang dekat dengan perjanjian itu telah cuba meredakan percanggahan yang berlaku dengan memberitahu, 41 peratus pega­ngan ByteDance dimiliki pelabur AS. Dengan pemilikan tidak langsung itu, majoriti TikTok Global akan dimiliki syarikat AS.

Satu sumber memberitahu, perjanjian Oracle dan Walmart meletakkan nilai TikTok Global lebih AS$50 bilion (RM205.3 bilion).
TikTok juga mengesahkan perancangan untuk menerbitkan tawaran awam permulaan untuk TikTok Global.

Firma Beijing itu berkata, ali lembaga pengarah TikTok Glo­bal akan disertai pengasas ByteDance, Zhang Yiming selain Ketua Eksekutif Walmart, Doug McMillon dan pengarah-pengarah semasa ByteDance.

Oracle dan Walmart dalam kenyataan bersama pula berkata, empat daripada lima ahli lembaga pengarah syarikat itu adalah rakyat AS.

Menurut ByteDance, pelan semasa untuk TikTok Global tidak melibatkan apa-apa perpindahan algoritma atau teknologi dan Oracle akan boleh memeriksa kod sumber TikTok AS. Oracle dan Walmart sebelum ini menyatakan semua teknologi TikTok akan menjadi milik TikTok Global.

ByteDance turut menyatakan bayaran cukai TikTok Global sebanyak AS$5 bilion (RM20.53 bilion) yang dilaporkan sepatutnya dibayar kepada kerajaan AS adalah berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai lain yang syarikat perlu bayar untuk beberapa tahun hadapan dan ia tidak ada kena-mengena dengan perjanjian yang dicapai dengan Oracle dan Walmart. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.