fbpx

Moratorium: Cawangan Bank Muamalat dibuka hujung minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesemua cawangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) di seluruh negara akan dibuka pada hujung minggu untuk dua minggu berturut-turut bagi membantu pelanggan membuat permohonan bantuan bayaran pasca moratorium.

Cawangan Bank Muamalat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan dibuka pada 12 dan 13 September serta 19 dan 20 September, manakala cawangan di Kelantan dan Terengganu pula akan dibuka pada 11 dan 12 September serta 18 dan 19 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya mengambil berat terhadap pelanggan dan sedia membantu mereka yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan bayaran pembiayaan selepas tempoh moratorium berakhir pada 30 September ini. 

“Sehingga 10 September, Bank Muamalat telah berjaya menghubungi 100 peratus daripada kumpulan pelanggan sasarannya. Namun daripada jumlah itu hanya 17 peratus yang memberikan maklum balas.

“Memandangkan masih ramai lagi yang belum memberikan maklum balas, pihak bank mengambil keputusan untuk membuka kesemua cawangan pada hujung minggu bagi dua minggu berturut-turut jika mereka memerlukan bantuan atau ingin berunding dengan kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, pelanggan yang ingin memohon bantuan dinasihati untuk membawa bersama slip gaji terkini, dokumen sokongan seperti surat pemberhentian kerja atau pemotongan gaji atau cuti tanpa gaji dan Surat Akuan Bersumpah.

Bantuan bersasar itu turut ditawarkan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bank Muamalat sebelum ini mengumumkan penawaran bantuan bayaran untuk pelanggannya yang terkesan susulan pandemik Covid-19 antaranya yang kehilangan pekerjaan, pengurangan gaji dan diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan.

Bantuan bersasar yang ditawarkan kepada pelanggan termasuk, lanjutan moratorium selama tiga bulan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, bermula 1 Oktober nanti.

Untuk pelanggan yang masih bekerja tetapi gaji mereka dipotong atau berkurangan, bayaran ansuran akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji bergantung kepada jenis pembiayaan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan. 

Lanjutan juga boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa pelanggan yang terjejas.

Sementara itu, bagi pelanggan yang tidak terjejas pula, dinasihatkan untuk menguruskan bayaran pembiayaan mereka seperti biasa bermula Oktober nanti.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.muamalat.com.my atau hubungi talian di 03-2600 5500. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI