Bandar Malaysia sedia dilancarkan - Utusan Malaysia

Bandar Malaysia sedia dilancarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bandar Malaysia kini sedia dilancarkan setelah rakan usahasama kerajaan, Iskandar Waterfront Holdings Sdn. Bhd. (IWH) dan China Railway Engineering Corp. (M) Sdn. Bhd. (CREC) menyelesaikan komitmen bayaran sebanyak RM1.24 bilion kepada kerajaan.

Bayaran tersebut adalah melalui perjanjian jualan saham dinilai semula dan perjanjian pemegang saham, termasuk deposit 10 peratus dan bayaran pendahuluan RM500 juta kepada TRX City Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bandar Malaysia berpotensi membawa pelbagai manfaat kepada hampir semua sektor ekonomi negara.

“Bukan sahaja ia mampu melonjak pelbagai aktiviti ekonomi malah mampu mentransformasi latar langit dan mengevolusi lanskap perniagaan negara sebagai hub baharu untuk perniagaan global berimpak tinggi serta menarik bakat baik dari dalam atau luar negara.

“Malah, Bandar Malaysia adalah satu daripada pelbagai projek yang akan menolak Malaysia jauh ke hadapan pada masa akan datang,” katanya ketika memberikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Bandar Malaysia di Hotel Le Meridien, di sini.

Perjanjian antara IWH-CREC dengan TRX City akan memberi pemilikan sebanyak 60 peratus pegangan dalam Bandar Malaysia Sdn. Bhd. yang sebelum ini dimiliki sepenuhnya TRX City.

Tambah Tengku Zafrul lagi, Bandar Malaysia adalah kebanggan buat Malaysia kerana ia merupakan projek pembangunan bandar tunggal terbesar di Asia Tenggara.

“Dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion, Bandar Malaysia juga akan menjadi projek terbesar semisalnya di negara ini,” katanya.

Pembangunan yang mengambil masa lebih 20 tahun itu bakal menyaksikan Bandar Malaysia membentuk hala tuju masa depan Kuala Lumpur dengan menawarkan satu suasana gaya hidup urban baharu bersama infrastruktur moden supaya menjadi satu pembangunan ikon dalam rantau Asia Tenggara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya