TikTok cabar keputusan Trump - Utusan Malaysia

TikTok cabar keputusan Trump

Tiktok mahu mencabar tindakan Presiden Donald Trump di mahkamah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pengendali TikTok memaklumkan, pihaknya akan mencabar keputusan pentadbiran Presiden Donald Trump di mahkamah, selepas menyekat aplikasi video popular dari China itu atas dakwaan ancaman kepada keselamatan negara.

Hubungan China-AS tegang selepas Trump menandatangani perintah eksekutif pada 6 Ogos lalu, yang memberi tempoh selama 45 hari kepada warga AS berhenti mengadakan urus niaga dengan syarikat induk TikTok, ByteDance.

Tindakan itu dilihat `kata akhir’ kepada syarikat untuk menjual aplikasi berkenaan kepada syarikat tempatan.

“Untuk memastikan undang-undang tidak disalahgunakan dan syarikat kami serta pengguna dilayan dengan adil, kami tidak ada pilihan selain mencabar perintah eksekutif berkenaan melalui saluran perundangan.

“Sungguhpun kami tidak bersetuju dengan kebimbangan pihak kerajaan, hampir setahun kami telah mencari penyelesaian secara konstruktif.

“Bagaimanapun, apa yang kami temui ialah kelemahan pihak kerajaan untuk memberi fokus kepada fakta-fakta, sebaliknya terlibat dalam penyelesaian perniagaan secara peribadi,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Sementara itu, ByteDance dalam kenyataan berasingan memaklumkan, tindakan undang-undang itu akan difailkan pada Isnin, waktu tempatan.

TikTok merupakan perkhidmatan rangkaian sosial yang memaparkan klip video ringkas mengenai kehidupan harian daripada tutor mewarnakan rambut sehingga kepada jenaka tentang kehidupan dan politik.

Aplikasi tersebut telah dimuat naik sebanyak 175 juta kali di AS dan lebih setengah bilion di seluruh dunia.

Trump mendakwa, TikTok boleh digunakan oleh kerajaan China untuk menjejaki lokasi kakitangan kerajaan Persekutuan, selain mendedahkan pengguna kepada pemerasan dan ugutan korporat.

Dakwaan itu dinafikan oleh TikTok dengan menjelaskan, pihaknya tidak pernah mendedahkan data pengguna AS kepada Beijing. Beijing turut membidas tuduhan Trump itu dengan menyifatkannya bermotif politik.

Tindakan AS itu hadir menjelang pemilihan pada 3 November ini dengan Trump, menurut satu kajian, sedang ketinggalan di belakang pencabarnya, Joe Bidin. Beliau cuba meningkatkan populariti melalui kempen atau mesej anti-Beijing.

Trump dilaporkan kerap mengambil pendirian konfrontasi dengan China, antaranya membabitkan isu perdagangan, ketenteraan dan ekonomi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya