Rangsangan ekonomi beri impak - Utusan Malaysia

Rangsangan ekonomi beri impak

MOHD. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakej rangsangan ekonomi iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah memberi kesan positif, sekali gus membawa kepada penyusutan 0.4 peratus kadar pengangguran negara pada Jun kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus Mei lalu.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azali Mohamed berkata, pelbagai inisiatif dan insentif yang diumumkan kerajaan termasuk melibatkan subsidi upah dan tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menyumbang kepada lebih ramai penganggur kembali bekerja.

Azali berkata, pembukaan semula sektor ekonomi pada Jun juga telah mula me­nunjukkan tindak balas positif dan bermakna negara semakin pulih daripada krisis Covid-19.

“Namun begitu, kalau boleh jika Jabatan Perangkaan dapat mengeluarkan statistik mengenai jumlah pekerja yang belum pernah mendapat pekerjaan tetapi ditawarkan pekerjaan selepas PKP tamat nanti boleh menceritakan gambaran sebenar mengenai pasaran buruh negara.

“Laporan statistik yang mung­kin boleh dikeluarkan dalam suku keempat tahun ini dapat menunjukkan berapa ramai sebenarnya rakyat mendapat pekerjaan baharu terutama membabitkan lepasan ijazah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas laporan Jabatan Perangkaan mengenai pasaran buruh domestik me­nunjukkan pemulihan pada Jun susulan pelaksanaan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila kadar pengangguran turun sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus daripada kadar tertinggi 5.3 peratus, Mei lalu.

Dalam pada itu, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam, bilangan penganggur susut sebanyak 52,900 atau 6.4 peratus kepada 773,200 orang berban­ding 826,000 pada Mei.

Katanya, pemulihan kedudukan penawaran tenaga buruh pada bulan tersebut dipacu oleh pembukaan semula lebih ba­nyak sektor ekonomi termasuk aktiviti pendidikan, sosial dan keagamaan susulan PKPP.

Mohd. Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja turut mening­kat 0.7 peratus atau 14.99 juta orang, Jun lalu berbanding -0.3 peratus pada Mei.

“Peningkatan dapat dilihat ketara di sektor perkhidmatan apabila sektor ini menunjukkan pertumbuhan positif bulan ke bulan buat pertama kalinya sejak Januari 2020. Antaranya, penduduk bekerja meningkat dalam aktiviti e-dagang, per­khidmatan penghantaran dan aktiviti berkaitan teknologi mak­lumat serta komunikasi.

“Bilangan penduduk be­kerja kurang daripada 30 jam se­minggu juga susut sebanyak 35.5 peratus kepada 470,100 orang berbanding 729,100 orang pada Mei 2020,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd. Uzir malah berkata, penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu juga telah berkurang lebih 65 peratus kepada 768,000 berbanding 2.27 juta orang Mei lalu.

“Golongan ini yang ber­kemungkinan besar ti­dak dapat bekerja dari rumah tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja semula.

“Sementara itu, bilangan mereka yang bekerja sendiri terus menurun sejak Mac 2020 dengan 2.42 juta orang yang bekerja sendiri pada Jun 2020, perubahan bulan ke bulan le­bih rendah daripada perubahan yang dicatatkan pada tempoh sebelumnya,” katanya.

Bagi Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Kedua 2020, Mohd. Uzir menyatakan kadar pe­ngangguran telah meningkat kepada 5.1 peratus dalam suku itu berbanding 3.5 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan lonjakan kadar pengangguran pada Mei 2020.

“Pada suku tahun ini, penggunaan tenaga buruh masih belum mencapai tahap optimum kerana perniagaan baru sahaja memperoleh momen­tumnya.

“Oleh itu, penduduk bekerja turun sebanyak 2.4 peratus kepada 14.88 juta orang terutama dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah. Dari segi taraf pekerjaan, semua ka­tegori iaitu majikan, pekerja, bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji turut merekodkan penurunan berbanding suku tahun sebelumnya,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.