Proton sasar wujudkan 36 pusat kereta terpakai - Utusan Malaysia

Proton sasar wujudkan 36 pusat kereta terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Brian Cheah

 

KUALA LUMPUR: Proton ­Holdings Berhad (Proton) menyasarkan untuk mewujudkan 36 pusat pengurusan kereta terpakai di seluruh ­negara melalui jabatan Pe­ngurusan Kereta Terpakai (UCM) dalam usaha meningkatkan penjualan kereta baharu bagi tahun ini.

Menerusi UCM, Proton melihat langkah itu sebagai sebahagian strategi penting bagi melancarkan penjualan dan pengedaran kereta terpakai dalam usaha meningkatkan penjualan kereta baharu.

UCM Proton ditubuhkan pada tahun lalu dengan projek awal terdiri daripada lapan ­pusat jualan yang terletak di beberapa lokasi pengedar.

Beberapa bulan terawal digunakan untuk menetapkan prosedur operasi dan melatih pemeriksa kereta-kereta terpakai yang akan menguruskan transaksi di setiap pusat ­jualan.

Ketua Pengurusan Kereta Terpakai Proton, Brian Cheah berkata, dengan pertumbuhan jualan Proton secara pantas dan dijangka terus meningkat dalam beberapa tahun akan datang, peranan pengurusan kereta terpakai menjadi lebih penting.

“Syarikat akan membantu pelanggan yang ingin menukar ganti kereta terpakai mereka. Sejak tertubuhnya UCM tahun lalu, sasaran yang ditetapkan adalah menyokong penjualan kereta baharu dan meningkatkan nilai jualan semula kereta Proton,” katanya dalam ­kenyataan baru-baru ini.

Sasaran yang ditetapkan untuk UCM adalah penggantian jualan, yang mana pemilik sedia ada menukar beli sebuah Proton baharu, bagi me­nyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah jualan bagi ­pusat ­jualan yang mempunyai perkhidmatan UCM.

Syarikat juga telah memperkenalkan program untuk membantu mencapai sasaran seperti Proton Xchange bagi menggalakkan pemilik ­sedia ada menggantikan kereta mereka dengan model Proton baharu.

Mengenai penjualan ­tukar beli, kereta yang dijual oleh UCM akan dipasarkan di bawah program Proton Certified Pre-Owned (PCPO).

“Semua kenderaan PCPO akan menjalani pemeriksaan 201 titik yang komprehensif dan dijamin tidak pernah mengalami banjir atau kerosakan struktur akibat ­kemalangan teruk.

“Ia dilengkapi jaminan lanjutan selama setahun meliputi enjin dan transmisi serta layak mendapat servis percuma ­sebanyak sekali (minyak enjin dan penapis minyak sahaja), sehingga enam bulan dari tarikh kereta tersebut didaf­tarkan,” katanya.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), pertumbuhan jualan kereta terpakai merupakan suatu perkembangan yang tidak dijangka dan telah meningkat 100 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini ketika industri automotif negara kembali pulih selepas terkesan akibat Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya